KOTA BHARU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan meredah banjir sedalam satu meter untuk membantu membantu membawa dan mengebumikan jenazah seorang wanita warga emas selepas kediaman penduduk Kampung Senang di sini hari ini dinaiki air.
Pemangku Pengarah APM Kelantan, Mohd. Farid Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.34 pagi tadi yang memaklumkan Fatimah Ibrahim, 62, meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini.
Menurutnya, anggota APM bersama sebuah trak mengambil jenazah di Masjid Haji Omar untuk dihantar ke Tanah Perkuburan Beris Arab, Kampung Senang yang terletak sejauh dua kilometer dari masjid tersebut.
“Kita menyediakan sebuah lori untuk membantu menguruskan upacara pengebumian jenazah sehingga selesai. Difahamkan, laluan untuk ke tanah perkuburan tidak boleh dilalui selepas dinaiki air sedalam satu meter.
“Kerja membantu menguruskan jenazah membabitkan tujuh anggota dengan menggunakan sebuah lori dan selesai sejam kemudian,” katanya.
Mohd. Farid memberitahu, APM turut membantu pemindahkan seorang mangsa menghidap strok dan koma dari Kampung Dusun Durian untuk dihantar ke inap desa di Kampung Beris Kubur Besar, Bachok dekat sini.










