KUALA LUMPUR: Pembentangan Akta Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang baharu masih di peringkat kajian menyeluruh bagi memastikan ia benar-benar berkesan dan kalis masa hadapan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, proses penggubalan akta itu memerlukan penelitian mendalam daripada pelbagai aspek termasuk penandaarasan dengan negara serantau, keharmonian fungsi antara kementerian serta implikasi jangka panjang terhadap tadbir urus dan sumber negara.
Katanya, bagi menyokong penyediaan akta tersebut, kementeriannya bersama Kementerian Ekonomi telah melancarkan Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi (RDICE) bagi merangka hala tuju strategik tersebut.
“Akta ini akan memberi impak besar kepada tadbir urus STI negara. Oleh itu, implikasi jangka panjang terhadap kerajaan perlu dianalisis dengan teliti.
“Pelan Hala Tuju RDICE ini merupakan satu pelan tindakan strategik yang dirangka untuk mewujudkan sebuah ekosistem STI yang holistik dan bertenaga. Dokumen ini secara khusus dirangka untuk menangani isu-isu teras yang telah lama wujud,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Lih Kang juga mengakui kerajaan berdepan cabaran untuk meningkatkan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara yang kini kekal pada paras 1.01 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), jauh daripada sasaran 2.5 peratus menjelang 2030.
Katanya, bagi mencapai sasaran tersebut, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan termasuk menggalakkan penglibatan lebih besar sektor swasta serta memperkukuh mekanisme pembiayaan alternatif seperti Malaysia Science Endowment (MSE).
“Selalu kita kata, pembiayaan seharusnya diterajui sektor swasta pada sasaran 70 peratus tapi setakat ini kita hanya ada lebih kurang 51 peratus. Itu adalah kebergantungan terhadap dana awam yang tinggi,” katanya. – UTUSAN










