TEMERLOH: Kegembiraan 26 pembeli rumah baharu di Taman Chatin Maju, Mentakab di sini bertukar derita apabila projek perumahan yang sepatutnya siap didakwa terbengkalai sejak lebih setahun setengah lalu.
Projek melibatkan 26 unit rumah teres dua tingkat bersama beberapa unit lain itu dikatakan terhenti sepenuhnya sejak penghujung 2023 dan sehingga kini tidak menunjukkan sebarang perkembangan.
Akibat kelewatan itu, pembeli mendakwa mereka terpaksa terus membayar ansuran pinjaman bank swalaupun rumah masih tidak boleh diduduki.
Lebih membimbangkan, keadaan tapak projek kini semakin uzur dengan bangunan separuh siap yang rosak, dipenuhi rumput panjang serta pokok liar selain menjadi sasaran kecurian.
Seorang pembeli, Cheng Kok Tong, 42, berkata, rumah bernilai RM338,000 yang dibelinya sepatutnya siap antara bulan April atau Mei 2024, namun kini terbengkalai pembinaannya.
“Pendawaian hilang, lantai simen pecah dan barang banyak kena curi. Saya tidak tahu nak buat apa lagi. Bayaran bank RM1,003 sebulan tetap berjalan sejak 2022,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kok Tong berkata, sebelum ini pemaju memberi alasan tiada pekerja dan kekangan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19, namun selepas itu kerja pembinaan langsung tidak bergerak.
“Kami sudah buat aduan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan jumpa wakil rakyat, tetapi tiada tindakan yang benar-benar membantu. Kami harap kerajaan memberi perhatian segera sebelum keadaan jadi lebih teruk,” ujarnya.
Seorang lagi pembeli, Neti Lusionji, 37, pula berkata, nasibnya lebih malang apabila hanya menerima sebidang tanah kosong tanpa sebarang struktur binaan walaupun deposit sudah dibayar beberapa tahun lalu.
“Tiada tiang, lantai dan tiada dinding. Hanya rumput. Sudah lebih setahun projek langsung tidak bergerak,” katanya.
Menurutnya, disebabkan projek tidak berjalan, dia terpaksa terus menyewa rumah lain dan permohonan pinjaman perumahan juga tergantung kerana status projek tidak menentu.
“Kami bukan orang senang. Sewa kena bayar, keluarga hendak ditanggung, deposit pun tidak dapat balik. Semua hal tersekat,” ujarnya.-UTUSAN.










