2,500 penempatan baharu TVET di China tahun depan

2,500 penempatan baharu TVET di China tahun depan

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) ketika merasmikan Forum Kerjasama Pendidikan TVET dan Industri Antarabangsa Malaysia-China Ke-2 serta Pameran Pendidikan Vokasional Malaysia-China Ke-4 di Institut Teknikal Elektronik dan Maklumat Shanghai, China, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menerima 2,500 penempatan baharu bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di China bermula tahun hadapan sebagai usaha memperkukuh ­pembangunan modal insan dalam bidang tek­nikal dan industri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penambahan pe­nempatan itu susulan kejayaan pelaksanaan program terda­hu­lu yang mencatat sambutan meng­galakkan serta kadar kebo­lehpasaran graduan yang tinggi.

Katanya, 5,125 tempat ditawarkan kepada belia Malaysia pada tahun lalu untuk menjalani latihan TVET di institusi dan industri terkemuka China.

“Penambahan ini dibuat hasil kejayaan program terdahulu. Kursus-kursus berkenaan bersifat jangka pendek antara satu hingga enam bulan.

“Pada tahun lepas, kita pada asalnya hanya menerima tawa­ran 2,500 tempat, namun jumlah itu meningkat kepada 5,125. Untuk tahun depan, kita juga menjangkakan pertambahan se­hingga 5,000 tempat,” katanya se­lepas merasmikan Forum Ker­jasama Pendidikan TVET dan Industri Antarabangsa Malaysia-China Ke-2 serta Pameran Pendidikan Vokasional Malaysia–China Ke-4 di Institut Teknikal Elektronik dan Maklumat Shanghai, China, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Pe­ngerusi Majlis TVET Negara ber­kata, kadar kebolehpasaran gra­duan TVET Malaysia yang menjalani latihan di China mencapai 100 peratus iaitu hasil hubungan rapat dengan industri negara berkenaan.

Katanya, syarikat-syarikat Chi­na yang melabur di Malaysia telah memberikan komitmen untuk mengambil pelajar Malaysia yang menjalani latihan TVET di sana, manakala data menunjukkan 54.7 peratus pelajar lepasan sekolah di Malaysia kini menunjukkan minat mendalam terhadap bidang TVET.

“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran belia negara, tetapi juga membantu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

“Saya yakin dalam tempoh paling lewat 15 tahun, insya-Allah kebergantungan kepada tenaga kerja asing dapat diminimumkan,” katanya.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut merasmikan Guangqi Institute sebagai hab latihan bersama Malaysia-China yang memberi tumpuan kepada bidang semikonduktor dan elektronik lanjutan.

“Melalui institut berkenaan, seramai 500 peserta terdiri daripada pelajar, tenaga pengajar dan pekerja industri akan menjalani latihan intensif bernilai RM10 juta selama tempoh antara satu hingga enam bulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN