1,700 kanak-kanak Sudan di Darfur alami kekurangan zat makanan

1,700 kanak-kanak Sudan di Darfur alami kekurangan zat makanan

SEORANG pelarian Sudan memberi makan kepada anaknya berusia lapan bulan yang mengalami kekurangan zat makan di Hospital Iriba, di wilayah Wadi Fira, Chad.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 1,700 kanak-kanak di Kem Pelarian Tawila, Darfur Utara, kini mengalami kekurangan zat makanan serius ketika pertempuran antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF) terus memuncak.

Menurut Penyelarasan Am untuk Orang Terlantar dan Pelarian, dua pertiga penduduk Sudan kini memerlukan bantuan kemanusiaan segera, sama ada di kem pelarian mahupun dalam komuniti tuan rumah di kawasan luar bandar, kampung dan wilayah nomad.

Kem Tawila, antara lokasi pelarian terbesar di Sudan, menerima lebih 1 juta penduduk melarikan diri sejak perang tercetus antara tentera Sudan dan RSF pada 15 April 2023.

Dalam kenyataan itu, agensi tersebut memaklumkan keganasan terkini di al-Fashir, ibu negeri Darfur Utara menyebabkan ratusan ribu pelarian baharu tiba dalam keadaan amat daif dengan kelaparan, kecederaan dan penderitaan melampau.

Data terbaharu menunjukkan sebanyak 1,600 mangsa keganasan berasaskan jantina, 3,100 cedera akibat tembakan, 1,700 kanak-kanak mengalami malnutrisi akut, 3,600 warga emas mengalami malnutrisi teruk dan lebih 7 juta orang kini menjadi pelarian dalaman di seluruh wilayah Darfur.

Kumpulan itu memberi amaran keadaan di Kem Tawila dan seluruh Darfur semakin meruncing berikutan peningkatan angka pelarian serta kekurangan bekalan asas.

Dalam pada itu, Rangkaian Doktor Sudan memaklumkan pasukan perubatannya merekodkan kematian 23 kanak-kanak akibat malnutrisi akut di bandar Dilling dan Kadugli, Kordofan Selatan sepanjang bulan lalu.

Kematian itu dikaitkan dengan sekatan RSF yang memutuskan bekalan makanan, ubat-ubatan dan bantuan asas ke kawasan berkenaan.

Awal bulan ini, Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang disokong PBB mengesahkan berlakunya kebuluran di bandar El-Fasher dan Kadugli yang dikepung RSF.

26 Oktober lalu, militia RSF merampas El-Fasher dan didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam, menurut laporan organisasi tempatan dan antarabangsa, sekali gus menimbulkan kebimbangan serangan itu boleh mengukuhkan pembahagian wilayah Sudan.

Sejak April 2023, tentera Sudan dan RSF terperangkap dalam perang yang gagal diselesaikan melalui rundingan serantau serta antarabangsa, dengan konflik mengorbankan ribuan nyawa dan memaksa jutaan lagi melarikan diri. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN