BANGKOK: Polis Thailand menumpaskan sebuah klinik yang beroperasi secara haram selama lebih sedekad di Min Buri, Bangkok, dan menahan dua doktor palsu.
Boonwiwat Boonrueanglue, 50, dan Nattawut Boonrueanglue, 30, ditahan di Klinik Doktor Phong dalam serbuan pada 13 November lalu.
Serbuan itu turut mendedahkan lebih 6,000 rekod pesakit, dengan kedua-dua suspek dipercayai menjalankan rawatan, memberi suntikan serta mengeluarkan preskripis tanpa kelayakan profesional.
Siasatan mendapati, Boonwiwat menjalankan pemeriksaan, memberi nasihat perubatan dan menulis preskripsi tanpa kelayakan sah, manakala Nattawut ditugaskan merekod sejarah perubatan, memberikan suntikan serta mengagihkan ubat.
Isu terbongkar apabila mereka merawat seorang wanita berusia 30-an yang datang ke klinik kerana demam.
Mangsa dilaporkan terkejut apabila mengetahui mereka bukan profesional perubatan bertauliah.
Boonwiwat mendakwa dia adalah doktor sebenar dan mengendalikan klinik tersebut selama lebih 10 tahun.
Namun, dia gagal mengemukakan sebarang sijil atau lesen berkaitan kepada pihak berkuasa.
Nattawut akhirnya mengaku dia tidak pernah menjalani latihan perubatan dan hanya mempelajari cara memberikan rawatan daripada Boonwiwat.
Polis merampas wang tunai, 1,000 helaian rekod pesakit yang ditulis tangan, sijil perubatan untuk permohonan kerja, pendaftaran lesen memandu, sebuah komputer yang mengandungi rekod lain pesakit dan pelbagai ubat-ubatan serta peralatan perubatan.
Menurut laporan Channel 7, pihak berkuasa pernah beberapa kali cuba menyerbu dua klinik haram itu sebelum ini, namun kedua-dua lelaki tersebut berjaya mengelak daripada ditangkap selepas mendapat maklumat awal.
Kedua-dua suspek kini berdepan enam pertuduhan, termasuk mengendalikan fasiliti perubatan tanpa pengamal bertauliah, menjalankan amalan perubatan tanpa pendaftaran atau kebenaran, menggunakan dokumen palsu, menjual ubat tanpa lesen, serta memiliki ubat terkawal tanpa kebenaran.- AGENSI










