Zon aliran bebas Wang Kelian kembali dibuka Disember ini

Zon aliran bebas Wang Kelian kembali dibuka Disember ini

ZON aliran bebas di Wang Kelian dijangka akan kembali dibuka pertengahan Disember depan sekali gus bakal menghidupkan kembali lokasi berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Selepas lebih 10 tahun, zon aliran bebas di Wang Kelian di sini akan kembali dibuka dijangka pada pertengahan Disember depan.

Ia sekali gus bakal menghi­dupkan kembali lokasi yang pernah menjadi tumpuan pelancong suatu ketika dahulu.

Sebelum ‘kegilaan’ rakyat Malaysia ke Thailand, Wang Kelian pernah menjadi tumpuan de­ngan ribuan pengunjung mengunjungi kawasan zon aliran bebas itu untuk membeli-belah pada hujung minggu.

Namun, selepas zon aliran bebas tersebut ditutup pada 2015 lokasi berkenaan ibarat kawasan mati dengan orang ramai hanya menjadikan ia sebagai laluan untuk ke Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Hu­bungan Sempadan negeri, Izi­zam Ibrahim berkata, kerajaan khususnya pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara dasarnya telah bersetuju untuk pembukaan semula zon aliran bebas di Wang Kelian dengan pelaksanaan dan syarat-syarat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Katanya, pembukaan semula zon aliran bebas itu juga sangat bertepatan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bakal melonjakkan kehadiran pelancong khususnya di Wang Kelian yang sebelum ini cukup popular sebagai lokasi membeli belah.

“Insya-Allah akan dibuka per­tengahan Disember ini dan ia akan melalui tempoh percubaan selama tiga bulan terlebih dahulu. Syarat-syarat atau kaedah bersesuaian untuk keluar masuk itu akan ditetapkan kemudian.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri, Setiausaha kerajaan negeri yang sentiasa berusaha untuk mempercepatkan pembukaan semula zon aliran bebas di Wang Kelian itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Akhbar ini sebelum ini berulang kali melaporkan mengenai keperluan pembukaan semula zon aliran bebas tersebut bagi memeriahkan kembali Wang Kelian.

Kawasan Wang Kelian suatu ketika dahulu menjadi lokasi cukup popular dengan ratusan bas setiap minggu membawa pelancong dari seluruh pelosok negara datang ke zon aliran bebas berkenaan.

Zon Aliran Bebas di Wang Kelian mula ditutup pada 1 April 2015 sebagai langkah kawalan pergerakan keluar masuk dan kawalan sempadan bagi menyekat ancaman dan mengekang penyeludupan barangan terla­rang.

Di Wang Kelian ketika ini, ha­nya View Point menjadi ‘penyelamat’ dalam menarik kehadi­ran pelancong namun ia sekadar lokasi menyaksikan panorama indah kawasan itu semata-mata.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN