Zelensky sedia sertai Trump, Putin di Budapest

Zelensky sedia sertai Trump, Putin di Budapest

VOLODYMYR ZELENSKY, DONALD TRUMP DAN VLADIMIR PUTIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, bersedia menyertai pertemuan antara Presiden Russia, Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, di Hungary sekiranya menerima jemputan rasmi.

Trump dan Putin sebelum ini mengumumkan rancangan untuk mengadakan sidang kemuncak di Budapest dalam tempoh beberapa minggu akan datang, ketika pemimpin AS itu terus berusaha menjadi pengantara bagi menamatkan perang yang berlarutan lebih tiga tahun sejak pencerobohan Russia pada 2022.

“Jika saya dijemput ke Budapest, sama ada dalam format tiga hala atau diplomasi ulang-alik, di mana Presiden Trump bertemu Putin dan kemudian bertemu saya, maka dalam apa jua format, kami akan bersetuju,” kata Zelensky kepada wartawan dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Namun, Zelensky mengkritik pemilihan Hungary sebagai lokasi pertemuan itu, memandangkan hubungan tegang antara Kyiv dan Budapest serta reputasi negara itu sebagai anggota Kesatuan Eropah paling pro-Moscow.

“Saya tidak percaya seorang perdana menteri yang menghalang Ukraine di setiap kesempatan boleh melakukan sesuatu yang positif untuk rakyat Ukraine atau memberikan sumbangan seimbang,” kata Presiden Volodymyr Zelensky, merujuk kepada Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban.

Kyiv sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk menyertai pertemuan tiga hala antara Zelensky, Putin dan Trump di beberapa negara berkecuali, termasuk Turkiye, Switzerland dan Vatican.

Pada tahun 1994, Moscow menandatangani Memorandum Budapest yang bertujuan menjamin keselamatan Ukraine, Belarus dan Kazakhstan sebagai pertukaran bagi penyerahan senjata nuklear peninggalan era Soviet.

“Satu lagi ‘senario Budapest’ juga tidak akan membawa hasil yang positif,” kata Zelensky.

Trump dilaporkan terus berusaha menamatkan konflik berpanjangan di Ukraine secepat mungkin sejak kembali ke Rumah Putih awal tahun ini, dengan mendorong beberapa siri rundingan terus antara pegawai Ukraine dan Russia.

Beliau sebelum ini turut menganjurkan sidang kemuncak bersama Putin, di Alaska, sebagai sebahagian daripada usaha diplomatiknya untuk mencari jalan damai.

Namun, langkah tersebut belum membuahkan sebarang hasil nyata, dengan rundingan antara kedua-dua pihak masih menemui jalan buntu.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN