KOTA BHARU: Pas menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat spekulasi mengaitkan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang sedang berdepan penggantungan oleh Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mahu menyertai parti itu.
Niab Presidennya Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, ketika ini Wan Ahmad Fayhsal hanya digantung dan dia masih lagi kekal sebagai ahli Bersatu.
Katanya, penggantungan itu mempunyai tempoh dan Ahli Parlimen Machang boleh kembali semua ke pangkuan parti selepas ia tamat.
“Bagi saya isu ini tidak berbangkit, terlalu awal lagi untuk buat spekulasi. Setakat ini dia tidak memaklumkan perkara itu kepada kita (Pas).
“Kita harap dia (Wan Ahmad Fayhsal) dapat selesai kerana ini masalah dalaman. Pas tidak mahu campur masalah parti lain. Harap dapat selesaikan masalah dalaman ini demi kebaikan semua pihak,” katanya kepada ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Perdana Sempena 70 Tahun Pas di sini, malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal terbuka dengan cadangan menyertai Pas bagi memperkukuhkan gabungan pembangkang pada peringkat akar umbi.
Beliau tidak menolak cadangan itu ketika menjawab pertanyaan sama ada beliau bersama kumpulan penyokong Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin bersedia menyertai PAS sebagai alternatif jika kemelut kepimpinan dalam parti itu sukar diselesaikan.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian selama satu penggal.
Selain itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat keahlian parti itu berkuatkuasa serta merta.
Lembaga Disiplin Bersatu berkata, selain Wan Saiful, turut dipecat Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd. Isa Saidi; Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis dan ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Azrudin Md. Idris.-UTUSAN










