UMNO Tambun harap layanan adil

UMNO Tambun harap layanan adil

AMINUDDIN MD. HANAFIAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: UMNO Bahagian Tambun berharap, parti itu mendapat layanan adil dalam pengagihan kerusi bagi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah berkata, walaupun kalah pada pilihan raya umum yang lalu, UMNO masih mempunyai kekuatan di bahagian itu terutama daripada segi jentera pilihan raya yang tersusun dan faktor itu tidak harus diketepikan.

Menurutnya, agihan tersebut tidak semestinya kerusi Parlimen yang kini disandang Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Aminuddin yang juga Setiausaha UMNO Perak berkata, agihan tersebut mungkin untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada UMNO.

“Pada PRU16, UMNO atau Barisan Nasional (BN) tidak semestinya diberikan kerusi Parlimen Tambun. Mungkin salah satu kerusi DUN boleh diberikan kepada UMNO.

“Kami mempunyai pemimpin yang layak untuk diketengahkan. Parti lain tidak boleh menafikan perkara itu.

“Keadaan sudah berubah. Pemikiran rakyat juga sudah berubah. Satu ketika dulu, rakyat lebih ke arah satu pihak, namun kini sudah berubah. Kerajaan Perpaduan tidak boleh memandang ringan hal ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sejak tahun 1986, kerusi Parlimen Tambun dikuasai BN sebelum dirampas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada PRU14.

Kerusi itu kemudian dimenangi Anwar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun 2022.

Pada PRU15, Aminuddin bertanding sebagai calon BN namun mendapat undi ketiga terbanyak di belakang Anwar yang menang dengan memperoleh 49,625 undi dan majoriti sebanyak 3,736 undi.

Anwar menewaskan Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu ketika itu.

Ahmad Faizal selaku penyandang kerusi tersebut memperoleh 45,889 undi sementara Aminuddin mendapat undian sebanyak 28,140 dan calon Pejuang, Abdul Rahim Tahir sebanyak 1,115 undi.

Parlimen Tambun mempunyai dua DUN iaitu Manjoi dan Hulu Kinta.

Pada PRU15, DUN Manjoi dimenangi Pas yang mewakili Perikatan Nasional, manakala DUN Hulu Kinta kekal milik Pakatan Harapan (PH) yang ditandingi PKR.

Kata Aminuddin, agihan kerusi di Parlimen Tambun yang adil antara BN dan PH akan memberi kebaikan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Asas kepada rundingan pembahagian kerusi untuk PRU akan datang sudah ada, siapa yang di tempat kedua pada PRU15 akan bertanding pada PRU16.

“Jadi ada keperluan untuk bertolak-ansur. Bukan sahaja kerusi di sini (Tambun) ada juga beberapa tempat lain dalam negeri Perak ini.

“Saya tak kata wajib satu kerusi untuk BN di Tambun, cuma saya rasa lebih afdal sekiranya parti-parti yang membentuk gabungan kerajaan sekarang diberi peluang sama rata bagi membolehkan kita menggerakkan sokongan,” katanya.

Mengenai keadaan UMNO dalam kawasan Parlimen Perdana Menteri, Aminuddin berkata pihaknya menerima hakikat sokongan pasti beralih kepada pihak yang menang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN