GAZA: Dua utusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berlepas ke Mesir pada Sabtu bagi membincangkan pembebasan tebusan di Gaza selepas Hamas mengumumkan persetujuan terhadap cadangan gencatan senjata yang dikemukakan Trump, sementara tentera Israel meneruskan serangan maut di seluruh wilayah itu.
Menurut pegawai Rumah Putih, menantu Trump, Jared Kushner bersama utusan khas, Steve Witkoff dijangka memuktamadkan butiran teknikal berkaitan pembebasan tebusan serta membincangkan pelan perdamaian yang bertujuan menamatkan perang hampir dua tahun antara Israel dan Hamas.
Media rasmi Mesir melaporkan, wakil Israel dan Hamas akan mengadakan rundingan tidak langsung di Kaherah pada Ahad dan Isnin, bagi membincangkan pertukaran tahanan dan tebusan.
Rundingan itu diadakan susulan gesaan Trump agar Israel menghentikan pengeboman di Gaza selepas Hamas menyatakan kesediaan untuk membebaskan semua tebusan termasuk yang masih hidup dan yang telah terkorban, sebagai sebahagian daripada cadangan pertukaran yang terkandung dalam pelan damai presiden AS itu.
Dalam kenyataan Jumaat lalu, Hamas berkata pihaknya mengumumkan persetujuan untuk membebaskan semua tebusan sama ada hidup atau meninggal dunia mengikut formula pertukaran yang dicadangkan dalam pelan Trump.
“Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Hamas, saya percaya mereka bersedia untuk keamanan yang berkekalan. Israel mesti segera menghentikan pengeboman di Gaza supaya kita dapat mengeluarkan tebusan dengan selamat dan secepat mungkin!” tulis Trump di platform Truth Social.
Namun pada Sabtu, beliau turut memberi amaran kepada Hamas agar tidak melengahkan pelaksanaan perjanjian itu, dengan menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kelewatan.
Sementara itu, tentera Israel terus melancarkan serangan udara dan darat besar-besaran di seluruh Gaza pada hari yang sama.
Menurut Pengarah Hospital al-Shifa, Dr. Mohammed Abu Salmiya, sekurang-kurangnya 39 orang terbunuh sejak subuh Sabtu, termasuk 34 mangsa di Gaza City yang kini menjadi tumpuan operasi ketenteraan Israel.
Pegawai pertahanan awam Gaza, Mohammed al-Mughayyir berkata, pengeboman oleh Israel masih berterusan dengan serangan udara, tembakan artileri dan dron bersenjata tanpa henti.
“Pengeboman Israel di Gaza diteruskan dengan tahap dan corak yang sama iaitu serangan udara, bedilan artileri serta tembakan dron quadcopter masih berterusan,” katanya. -AGENSI










