'Trump boleh terus berangan musnahkan tapak nuklear Iran' 

‘Trump boleh terus berangan musnahkan tapak nuklear Iran’ 

ALI KHAMENEI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menolak dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhubung serangan Washington pada Jun lalu memusnahkan tapak nuklear negara itu.

Dalam kenyataan di laman web rasminya, Khamenei meminta Trump untuk ‘terus berangan’ mengenai pemusnahan tapak itu dan mempertikaikan hak presiden AS untuk menentukan apa yang boleh atau tidak dimiliki oleh negara yang mempunyai industri nuklear.

Serangan udara pada pertengahan Jun itu dilancarkan oleh Israel, di mana AS turut menyertai konflik dengan menyerang fasiliti nuklear penting Iran.

Minggu lalu, Trump dalam ucapan di Knesset mendakwa, AS ‘memusnahkan’ tapak nuklear tersebut, sambil menyatakan:

“Kami menjatuhkan 14 bom ke atas fasiliti nuklear utama Iran. Sepenuhnya dimusnahkan dan itu telah disahkan.”

Dalam temu bual bersama Fox News, Trump juga mendakwa serangan itu membuat Iran tidak lagi menjadi pembuli di Asia Barat dan memusnahkan keupayaan nuklearnya.

Beliau turut menyifatkan serangan itu sebagai ‘operasi ketenteraan paling indah’. Namun, kesan sebenar serangan AS masih tidak diketahui.

Pentagon mendakwa serangan itu menangguhkan program nuklear Iran antara satu hingga dua tahun, bertentangan dengan laporan risikan AS sebelum ini yang menurut media Amerika, hanya menunjukkan kelewatan beberapa bulan.

Pada Isnin, Khamenei menyifatkan kenyataan Trump sebagai ‘tidak wajar, salah, dan bersifat ugutan’.

Perang Jun dengan Israel berlaku dua hari sebelum pusingan keenam rundingan nuklear yang dirancang antara Tehran dan Washington, bermula pada April.

Sejak itu, rundingan nuklear terhenti, dengan Iran menyatakan ia hanya bersedia untuk berunding sekiranya AS memberikan jaminan tiada tindakan ketenteraan.-  AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN