BANGKOK: Lebih dua juta inhaler herba bernilai kira-kira 120 juta baht (RM15.4 juta) dirampas pihak berkuasa Thailand selepas dihasilkan secara haram dan tercemar dengan mikroorganisma berbahaya.
Operasi bersepadu itu dijalankan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Thailand (FDA) bersama Bahagian Polis Perlindungan Pengguna (CPPD) dan Pejabat Kesihatan Awam Wilayah Samut Sakhon, yang menyerbu empat lokasi pengeluaran tidak berlesen.
Menurut hasil siasatan, syarikat yang mengeluarkan inhaler herba jenama Hong Thai memiliki lesen rasmi untuk sebuah kilang di Bang Phai, Bang Khae, Bangkok, namun didapati menghasilkan produk tersebut secara rahsia di beberapa tempat lain tanpa kelulusan FDA, satu kesalahan serius di bawah undang-undang kesihatan awam Thailand.
Semalam, pihak berkuasa menjalankan serbuan di empat lokasi pengeluaran dan penyimpanan haram, serta merampas sembilan jenis produk herba berjumlah lebih 2,350,000 unit dengan nilai anggaran melebihi 120 juta baht.
Pengusaha FDA, Supatra Boonserm menegaskan, pengusaha mesti mematuhi undang-undang sepenuhnya, sambil memberi amaran pengeluaran atau penjualan ubat herba tiruan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, FDA akan segera memulakan proses menarik balik semua inhaler herba tiruan atau tidak selamat yang dikaitkan dengan kes itu.
Sampel produk dihantar ke Jabatan Sains Perubatan untuk analisis lanjut, dan keputusannya akan diumumkan kepada orang ramai dalam masa terdekat.
“Penyedut herba Hong Thai yang tercemar dan ditemukan di empat premis tidak sah ini hadir dalam pelbagai formulasi serta kelompok pengeluaran.
“Produk yang dihasilkan di lokasi haram sebegini tidak dapat dijamin keselamatan atau kualitinya, malah berpotensi mengandungi bahan berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan,” kata Supatra.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membeli produk herba, dengan memeriksa tanda-tanda kejanggalan atau label yang tidak sah pada bungkusan.- AGENSI










