Tengku Amir Shah, Afzaa Fadini selamat diijab kabul

Tengku Amir Shah, Afzaa Fadini selamat diijab kabul

Tengku Amir Afzaa Fadini
TENGKU Amir Shah dan Afzaa Fadini Abdul Aziz selamat diijabkabulkan dekat Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, di Klang, Selangor, hari ini. - Gambar Istana Alam Shah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Datin Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz selamat diijabkabulkan dalam satu Istiadat Pernikahan Diraja di Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Istiadat di Masjid Istana Diraja itu diadakan secara tertutup itu diketuai oleh Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir yang berwakil wali menikahkan baginda di hadapan dua saksi iaitu Tengku Panglima Raja Selangor, Tengku Ahmad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Tengku Datuk Putra Tengku Azman Shah.

Dalam istiadat sama, Tengku Amir Shah juga berkenan menyerahkan sebuah dulang berisi sebentuk cincin sebagai mas kahwin dan senaskah Al-Quran kepada Afzaa Fadini.

Istana Alam Shah dalam kenyataannya berkata, sebagai simbolik, 11 das tembakan meriam dilepaskan 41 Bateri Regimen Artileri Diraja (Istiadat) yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh menandakan istiadat pernikahan diraja itu sudah disempurnakan kira-kira pukul 10.08 pagi.

“Istiadat pernikahan dilakukan dengan penuh tertib mengikut adat disaksikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin IDris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

“Turut hadir dalam istiadat tertutup itu adalah Kerabat Diraja Selangor dan keluarga pengantin perempuan serta sahabat handai kedua-dua belah pihak,” katanya, hari ini.

Tengku Amir Shah yang diputerakan pada 12 Disember 1990 di California, Amerika Syarikat merupakan anakanda tunggal Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Puan Nur Lisa Idris Abdullah.

Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Alice Smith, Kuala Lumpur sebelum melanjukan pelajaran ke Wellington College, United Kingdom (UK) bagi peringkat A Level dan Ijazah Sarjana Muda Ekologi dan Biologi Alam Sekitar di University of Leeds.

Tengku Amir Shah ketika berusia 11 tahun, diisytiharkan sebagai Raja Muda Selangor pada 3 Mei 2002. Istiadat pemasyhuran dan angkat sumpah sebagai Raja Muda Selangor ke-9 berlangsung pada tahun 2016 di Istana Alam Shah.

Sementara Afzaa Fadini pula dilahirkan pada 11 April 1993 di Kuala Lumpur dan merupakan anak ketiga dan satu-satunya puteri kepada Datuk Abdul Aziz dan Datin Rosmawati Ismail.

Beliau menerima pendidikan awal di Garden International School, Kuala Lumpur bagi peringkat rendah dan menengah sebelum melanjutkan pelajaran peringkat A Level di St. George’s, Ascot, UK serta Ijazah Sarjana Muda Pembangunan dan Ekonomi dari School of Oriental and African Studies di University of London.

Malah, beliau turut menamatkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Bandar Lestari (Sustainable Cities) di King’s College, London.

Sebelum ini kerjaya profesional Afzaa Fadini merangkumi gabungan bidang ekologi, reka bentuk bandar, dan penglibatan komuniti merentasi sektor bukan keuntungan dan swasta.  Beliau juga merupakan Pakar Arboris Bertauliah (ISA Certified Arborist).

Beliau turut diundang berkongsi pandangan di peringkat global termasuk di Pavilion Malaysia sempena UNFCCC COP28, di mana beliau menyuarakan kepentingan pendekatan berasaskan alam semula jadi yang berpusatkan komuniti dalam menangani cabaran alam sekitar.

Terdahulu, Istiadat Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor dimulakan dengan istiadat perarakan diraja sejauh 650 meter dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz di Jalan Istana menuju ke pintu utama Istana Alam Shah.

Perarakan yang disaksikan lebih 3,000 pengunjung yang hadir itu tiba di pintu utama Istana Alam Shah kira-kira 20 minit selepas istiadat bermula pada pukul 9 pagi.

Susulan istiadat pernikahan diraja hari ini, istiadat persandingan pengantin diraja pula akan diadakan pada 22 Oktober ini di dalam Balairung Seri, Istana Alam Shah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN