ARAU : Penganjuran Temasya Orang Kampung Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Berembang di sini menjadi platform memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya melibatkan penduduk kampung di negeri ini.
Penganjuran program di Kampung Behor Tui, di sini, pada kali ini turut menyediakan pelbagai pengisian menarik bagi membentuk nilai positif dan menaikkan semangat kenegaraan dalam kalangan masyarakat.
Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman berkata, penganjuran temasya itu bukanlah bertujuan sebagai acara politik namun lebih kepada usaha menggerakkan program bersifat menyeluruh khususnya buat penduduk kampung di negeri ini.
“Penganjuran temasya ini lebih kepada mengukuhkan perpaduan dan menaikkan semangat kenegaraan dalam diri setiap masyarakat. Usaha ini digerakkan kerana kita lihat bagaimana kebelakangan ini banyak terjadi isu-isu moral malah ada juga kes jenayah melibatkan golongan pelajar,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di sini hari ini.
Menerusi penganjuran Temasya Orang Kampung PDM Sungai Berembang, beberapa acara sukan rakyat menarik telah disediakan antaranya seperti pukul bantal, bowling kelapa, congkak, tarik tali dan pelbagai lagi.
Rozabil berkata, pada kali ini, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) turut dilibatkan sama dalam memastikan penganjuran program berkenaan dapat mencapai objektif dikehendaki.
“Tujuan utama kita adalah bagi melihat penduduk di Perlis dapat hidup dalam keadaan lebih harmoni dan bekerjasama antara satu sama lain,” katanya.
Tambahnya, penganjuran program itu turut digerakkan di beberapa PDM lain sekitar Parlimen Arau dan mendapat sambutan begitu menggalakkan.
“Program sebegini sememangnya mendapat sambutan memberangsangkan dari penduduk kampung kerana terdapat pelbagai acara menarik disediakan buat mereka,” katanya.-UTUSAN