Teliti aspek perundangan tarik pelabur Malaysia ke Timor Leste

Teliti aspek perundangan tarik pelabur Malaysia ke Timor Leste

AHMAD Zahid Hamidi bersama Bendito dos Santos Freitas ketika majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta kerajaan Timor Leste, di sini, hari ini.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terdapat keperluan meneliti semula beberapa aspek utama termasuk perundangan dan insentif pelaburan bagi membuka lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia untuk melabur di Timor Leste.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun usaha ke arah itu sudah dimulakan namun jumlah pelabur dari Malaysia di negara berkenaan masih belum memberangsangkan.

“Kita perlu melihat beberapa aspek termasuk daripada segi perundangan tanah perlu diselesaikan, insentif, pelaburan langsung asing (FDI) serta cukai yang pada hemat saya boleh diperincikan dengan kemasukan dan keanggotaan Timor-Leste dalam ASEAN.

“Perundangan di Timor-Leste agak berlainan berbanding Malaysia memandangkan mereka diperintah begitu lama oleh Portugis dan selepas itu pula oleh Indonesia.

“Sebelum ini, kita (Malaysia) dijajah oleh British, jadi kita menggunakan banyak sistem British. Oleh itu perlu ada keseragaman dari segi perundangan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian pada sidang akhbar selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan Kerjasama dalam Bidang Pembangunan Luar Bandar dengan Timor-Leste

Turut hadir, Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas.

Ahmad Zahid berkata, beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta, serta menteri luar kedua-dua negara akan meneliti perkara berkenaan dengan lebih mendalam.

“Saya percaya kepemimpinan kedua-dua negara akan melihat aspek ini secara menyeluruh kerana perbezaan sistem perundangan mungkin menjadi kekangan kepada pelabur Malaysia.

“Apabila Timor-Leste menjadi anggota penuh ASEAN, keseragaman perundangan dapat dimurnikan dan disegerakan bagi menggalakkan pelaburan Malaysia ke negara itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN