Tekong darat angkut 10 PATI ditahan - Utusan Malaysia

Tekong darat angkut 10 PATI ditahan

SEBAHAGIAN PATI yang ditahan JIM dalam serbuan di Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan semalam.-IHSAN JIM KELANTAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan mematahkan kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas menahan seorang lelaki yang bertindak sebagai tekong dalam serbuan di Lembah Sireh di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 7 pagi itu, JIM Kelantan turut menahan seramai 10 PATI termasuk empat wanita masing-masing berusia antara 18 hingga 43 tahun.

Pengarahya Mohamed Yusoff Khan Mohd. Hassan berkata, siasatan awal mendapati, sebuah kereta menurunkan beberapa PATI di Lembah Sireh sebelum kembali bersama warga asing lain di kawasan tersebut.

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, empat lelaki bersama tiga wanita warga India, dua lelaki warga Pakistan dan seorang wanita warga Indonesia berusia dalam lingkungan 18 hingga 43 tahun berjaya ditahan.

“Seorang lelaki berusia 24 tahun turut diberkas selepas dipercayai memandu sebuah kereta yang membawa masuk kesemua PATI tersebut.

“Semakan mendapati, empat PATI warga India itu telah ditolak kemasukan ke negara ini pada 11 Oktober lalu oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, Pengkalan Hulu di Perak kerana tidak mempunyai dokumen sokongan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mohamed Yusoff Khan memberitahu, kesemua PATI itu dipercayai akan menaiki bas di Terminal Bas Kota Bharu, Lembah Sireh di sini untuk mencari pekerjaan di Lembah Klang.

Katanya, kesemua PATI terbabit ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Antipsom) 2007,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN