KUALA PILAH: Tapai pulut daun getah yang dahulunya sering menjadi pencuci mulut di majlis kenduri kini semakin sukar ditemui.
Antara sebabnya, tidak ramai lagi yang meneruskan kaedah pembungkusan tradisional menggunakan daun getah.
Bagi Rosnah Ishak, 63, dari Kampung Tulang Rimau, Dangi, Johol di sini, keaslian tapai pulut hanya dapat dikekalkan apabila ia dibungkus dengan daun getah sebagaimana resepi turun-temurun arwah ibunya.
Katanya, keunikan tapai daun getah terletak pada aromanya yang wangi serta rasanya yang manis seimbang, menjadikannya kekal digemari walaupun jarang dijual secara meluas.
“Sekarang susah hendak jumpa tapai daun getah sebab ramai orang buat tapai dalam bekas plastik, sebab lebih senang. Tapi daun getah ini wangi, bila buka aroma dia semerbak. Itu yang buat tapai lebih sedap,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.
Tambahnya, selain mempunyai rasa tersendiri, tapai pulut yang dibungkus menggunakan daun getah juga tahan lebih lama apabila disimpan dalam peti sejuk.
Rosnah menjelaskan, proses penyediaannya memerlukan ketelitian kerana pulut perlu dikukus sempurna sebelum digaul bersama ragi dan diperam selama dua hari.
“Kalau diperam terlalu lama, gas akan keluar lebih banyak dan rasa tapai jadi lebih masam,” ujarnya.
Menariknya, walaupun tapai daun getah sinonim dengan generasi lama, ia turut digemari golongan muda.
“Cucu-cucu saya kalau balik kampung mesti minta saya buat tapai daun getah. Seronok tengok anak muda pun minat makanan tradisional ini,” katanya.
Rosnah turut berkongsi bahawa anak-anaknya kini sudah mahir membuat tapai pulut getah dan akan membantu setiap kali menerima tempahan pelanggan.
“Alhamdulillah, masih ada yang menghargai tapai daun getah. Selagi larat, saya akan terus buat supaya warisan ini tidak hilang begitu saja,” katanya. – UTUSAN










