LANGKAWI: Pengusaha bot tambang ke Pulau Tuba, di sini terpaksa menaikkan caj tambang sebanyak RM2 sehala, susulan perubahan harga petrol RON95 daripada RM2.05 kepada RM2.60 seliter.
Pengerusi Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Berhad (Koptubas), Mohd. Fadzlan Nor berkata, tambang sehala daripada RM5 kepada RM7 itu akan dikuatkuasakan bermula 7 Oktober ini.
“Kami sudah berbincang bersama semua pengusaha dan sebulat suara untuk menaikkan harga tambang sehala bagi perkhidmatan bot ke Pulau Tuba kepada RM7.
“Harga lama RM5 sudah dikenakan kepada penumpang sejak 30 tahun lalu tanpa sebarang kenaikan sedangkan kami terpaksa tanggung kos kenaikan bagi kerja selenggara dan petrol,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ketika ini, terdapat kira-kira 20 pengusaha bot tambang ke Pulau Tuba yang beroperasi dari Jeti Syed Omar dan Jeti Pelancongan Pekan Rabu.
Menurut Mohd. Fadzlan, kenaikan harga petrol daripada RM2.05 kepada RM2.60 yang terpaksa dibayar pengusaha sejak pelaksanaan Inisiatif Bantuan Madani RON95 (BUDI95) pada 1 Oktober lalu menambah beban mereka.
Tambahnya, walaupun kerajaan mengumumkan pelaksanaan subsidi petrol akan turut melibatkan pengendali bot berlesen, sehingga hari ini mereka belum menikmati inisiatif itu.
“Jika kerajaan hendak guna data pengusaha bot daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kami harap had petrol diberikan mengikut jenis enjin dan bukannya sama bagi semua jenis bot.
“Sebelum ini, semua pengusaha bot diberikan kuota sebanyak 100 liter sehari tanpa mengambil kira jenis enjin yang digunakan pada setiap bot,” katanya.
Pengusaha bot tambang sebelum ini telah menyatakan harapan mereka agar kerajaan dapat mempercepatkan pemberian subsidi petrol kepada mereka susulan kenyataan Kementerian Kewangan yang memasukkan perkhidmatan itu di bawah BUDI95.-UTUSAN.










