Taiwan bina sistem T-Dome tangkis ancaman China

Taiwan bina sistem T-Dome tangkis ancaman China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Presiden Taiwan, Lai Ching-te berikrar untuk mempercepatkan pembinaan sistem pertahanan udara pelbagai lapisan sebagai sebahagian daripada usaha menangkis ‘ancaman musuh’.

Kerajaan Lai berada di bawah tekanan Amerika Syarikat (AS) untuk meningkatkan keupayaan mempertahankan diri daripada kemungkinan serangan China, yang menuntut pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

“Kami akan mempercepatkan pembinaan T-Dome, menubuhkan sistem pertahanan udara yang kukuh di Taiwan dengan pertahanan pelbagai lapisan, pengesanan tahap tinggi dan pemintasan berkesan,” katanya semasa sambutan Hari Kebangsaan Taiwan, semalam.

Lai menegaskan, Taiwan bertekad untuk mengekalkan keamanan melalui kekuatan dan menyeru China supaya menolak penggunaan kekerasan atau paksaan bagi mengubah status quo di Selat Taiwan.

Ucapan itu turut menandakan tempoh setahun yang mencabar bagi Lai, seorang penyokong kuat kedaulatan Taiwan yang sering menjadi sasaran kecaman Beijing.

Usaha tahun ini untuk menyingkirkan ramai ahli parlimen pembangkang gagal, sekali gus melemahkan kedudukan kerajaan Parti Demokratik Progresif (DPP) pimpinan Lai.

Tarif AS ke atas penghantaran dari Taiwan serta keraguan terhadap kesediaan Presiden Donald Trump untuk melindungi pulau itu juga menjejaskan keyakinan hubungan penting tersebut.

Terdahulu, Lai mengulangi rancangan untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada lebih lebih tiga peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun depan, dan lima peratus menjelang 2030, sebagai tanda ketegasan untuk mempertahankan negara.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×