PETALING JAYA: Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur bermula hujung minggu ini menjadi kebangkitan semula semangat rantau ASEAN yang berpaksikan nilai kesederhanaan, solidariti dan kesejahteraan bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN kali ini bukan sahaja penting kepada Malaysia tetapi turut membawa manfaat besar kepada seluruh rantau ASEAN.
Katanya, ia disebabkan sidang kali ini mencatatkan sejarah baharu apabila bakal dihadiri pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump; Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.
“Sebagai Pengerusi, Malaysia akan memimpin dengan prinsip dan keyakinan selain terus mempertahankan Kepusatan ASEAN, memperkukuh perdagangan bebas, memperjuangkan keamanan serantau serta membawa suara Negara-Negara Selatan ke pentas global.
“Ia termasuk dalam isu Gaza di mana Malaysia konsisten menuntut keadilan, keamanan berkekalan dan maruah kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, sidang kali ini juga amat bersejarah kerana ASEAN akan meraikan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11.
Katanya, ia melambangkan keterangkuman dan semangat kekeluargaan rantau ini yang semakin utuh.
“Dalam masa sama, Malaysia menegaskan pentingnya memperkukuh dialog dan persefahaman antara Thailand dan Kemboja dalam menangani isu-isu berbangkit selaras dengan semangat diplomasi damai dan perpaduan ASEAN.
“Kita juga kekal menyokong usaha damai di Myanmar melalui pendekatan diplomasi berprinsip dan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara demi keamanan dan kesejahteraan rakyatnya,” katanya.
Perdana Menteri berkata, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, beliau dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Ketua-Ketua Pengarang media tempatan dan antarabangsa telah berkongsi pandangan awal mengenai fokus dan harapan Malaysia terhadap penganjuran kali ini.
Katanya, beliau yakin kerjasama erat antara kerajaan dan media akan memperkukuh kefahaman rakyat terhadap peranan Malaysia sebagai negara yang memimpin dengan hikmah, berprinsip dalam pendirian dan berani memperjuangkan keadilan sejagat.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, penyelesaian konflik antara Kemboja dan Thailand akan diputuskan menerusi perundingan serta perjanjian perdamaian dua negara dalam sidang kemuncak ASEAN Ke-47 nanti.
Beliau berkata, penyelesaian pertikaian kedua-dua negara itu dibuat secara aman dan mengikut undang-undang antarabangsa.
Menurutnya, penyelesaian konflik menerusi perjanjian perdamaian dijangka disaksikan oleh Trump, dan beliau sendiri sebagai Pengerusi ASEAN.
“Kerajaan kita bantu menyelesaikan pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand. Seperti yang sedia maklum, perbincangan awal telah diadakan di Kuala Lumpur melibatkan ketua-ketua pasukan bersenjata kedua-dua negara, Menteri Luar Kemboja dan Thailand, serta Menteri Pertahanan Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Anwar turut berkata, penyelesaian konflik dan pertikaian antara negara ASEAN termasuk keganasan di Myanmar perlu diselesaikan menerusi keterlibatan secara membina (constructive engagement).
Katanya, amalan constructive engagement antara negara anggota ASEAN juga secara tidak langsung dapat mengelakkan pertikaian yang boleh memusnahkan hubungan perdagangan, pelaburan dan kestabilan serantau.
Perdana Menteri yakin, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 akan menjadi yang terbaik pernah dianjurkan.
Beliau berkata, persiapan rapi sedang giat dijalankan semua agensi terlibat bagi memastikan persidangan berjalan lancar dan meninggikan imej positif terhadap keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah.
“Kita doakan agar persidangan ini berjalan lancar dan memberikan imej terbaik kepada Malaysia,” katanya. – UTUSAN










