PETALING JAYA: Seramai lebih 3,000 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia akan ditugaskan di semua pintu masuk utama negara bagi memastikan kelancaran urusan ketibaan delegasi antarabangsa sempena Sidang Kemuncak ASEAN KE-47 pada 26 hingga 28 Oktober ini.
Jabatan Imigresen berkata, langkah itu turut disokong dengan latihan kesiapsiagaan menyeluruh bagi memperkukuh kecekapan pegawai dalam menyambut dan mengurus ketibaan perwakilan daripada lebih 30 negara.
“Jabatan Imigresen kekal komited dalam memastikan aspek keselamatan dan urusan imigresen berjalan lancar serta bertaraf antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini menandakan kemuncak kepada Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 yang membawa tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan,. Cyril Ramaphosa serta Perdana Menteri China, Li Qiang antara pemimpin dunia yang dijangka akan hadir ke sidang kemuncak itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, sebanyak 84 dokumen hasil sidang dijangka akan diterbitkan sempena sidang kemuncak berkenaan.- UTUSAN










