Setia bersama PN, Wan Ahmad Fayhsal tidak mahu khianati mandat rakyat Machang

Setia bersama PN, Wan Ahmad Fayhsal tidak mahu khianati mandat rakyat Machang

WAN Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal semasa berucap di ceramah perdana sempena Sambutan 70 Tahun PAS Kelantan Peringkat Kawasan Machang, Kelantan malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung keahlian satu penggal oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memilih untuk terus setia bersama Perikatan Nasional (PN) dan tidak akan mengkhianati mandat rakyat kawasan itu.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, walaupun Ahli Parlimen Jelutong mengajaknya untuk bersama Kerajan Perpaduan namun dia mahu terus kekal setia bersama PN dan Pas.

“Ini bukan kali pertama saya menerima tawaran sebaliknya pernah disogok sebanyak RM5 juta dua tahun lalu untuk kerusi Parlimen Machang, namun saya tidak berganjak.

“Jika tawaran itu diterima, sudah tentu pengundi di Parlimen Machang akan memaki hamun saya,” katanya semasa berucap di ceramah perdana sempena Sambutan 70 Tahun PAS Kelantan Peringkat Kawasan Machang, di sini sebentar tadi.

Utusan Malaysia 14 Oktober lalu melaporkan, Ahli Parlimen Machang yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu digantung keahlian selama satu penggal.

Selain itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat keahlian parti itu berkuatkuasa serta merta.

Turut dipecat Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd. Isa Saidi; Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis dan ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Azrudin Md. Idris.

Tindakan tersebut dibuat ekoran pelanggaran Perlembagaan dan Tatakelakuan ahli parti-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN