Semua parti perlu perjuang hak rakyat Sabah - Utusan Malaysia

Semua parti perlu perjuang hak rakyat Sabah

ALIAKBAR GULASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi berhubung hak 40 peratus hasil Sabah disifatkan sebagai kemenangan besar buat rakyat negeri itu.

Namun, Pesuruhjaya Pas Sabah, DATUK DR. ALIAKBAR GULASAN menegaskan, isu tersebut tidak wajar dilihat sebagai agenda politik atau manifesto mana-mana parti, sebaliknya perlu diperjuangkan demi menegakkan hak sebenar rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

Ikuti perkongsian Aliakbar bersama wartawan Utusan Malaysia, JOHANNA MUMTAZ WANPA.

UTUSAN: Adakah Pas melihat isu hak 40 peratus hasil Sabah sebagai sebahagian daripada manifesto parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah?
ALIAKBAR: Perkara ini memang sudah termaktub dalam MA63 dan juga Perlembagaan Malaysia. Jadi saya melihatnya sebagai satu hak yang mesti dilunaskan oleh Kerajaan Persekutuan. Sepatutnya isu ini tidak perlu sampai ke mahkamah, tetapi kerana Sabah tidak menerima haknya, maka ia dibawa melalui saluran undang-undang. Keputusan ini satu kemenangan besar, namun ia bukan sekadar perlu dimasukkan dalam manifesto. Ia perlu diperjuangkan oleh semua pihak, sama ada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) kerana ini adalah hak rakyat Sabah.

Daripada sudut tanggungjawab kerajaan Persekutuan, bagaimana Pas melihat keputusan ini berhubung pelaksanaan hak di bawah MA63?
Semua kandungan MA63 telah termaktub dalam Perlembagaan, maka tidak perlu lagi diwujudkan majlis perundingan khas seperti majlis perundingan MA63. Kalau sudah termaktub dalam undang-undang, kerajaan hanya perlu melaksanakannya. Apa yang tidak baik adalah apabila perkara yang sudah termaktub masih perlu dibawa ke mahkamah. Ini menunjukkan Sabah sebelum ini telah dianaktirikan dan kita tidak mahu situasi seperti itu berulang.

Keputusan mahkamah turut menegaskan kegagalan kerajaan menunaikan hak Sabah menyebabkan negeri itu ke­tinggalan dalam pembangunan. Apakah langkah segera yang wajar diambil bagi memastikan hak ini benar-benar dipulangkan kepada rakyat?
Selepas pilihan raya nanti, saya mencadangkan agar diadakan satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mencapai kata sepakat dan memberi tekanan bersama kepada kerajaan Persekutuan supaya hak ini dilaksanakan. Tuntutan ini mesti dibincang dan diputuskan bersama di peringkat negeri sebelum disampaikan kepada kerajaan pusat.

Melihat kepada perubahan landskap politik Sabah, sejauh mana Pas yakin dapat memperkukuh kedudukan dalam PRN kali ini khususnya melalui perjuangan hak Sabah dan pelaksanaan MA63?
Kami tidak terlalu optimis, tetapi kami akan cuba yang terbaik. Saya lebih suka menyeru kepada perpaduan semua pihak. Walaupun ada persaingan antara parti, janganlah ia membawa kepada budaya maki-hamun atau serangan peribadi. Dalam konteks PN, kami berjuang bukan atas dasar parti atau calon semata-mata, tetapi kerana mahu memastikan Sabah mendapat haknya.

Sejauh mana penerimaan pengundi Sabah terhadap PAS yang sering dilihat sebagai parti dari Semenanjung?
Jika bercakap tentang Pas, saya lebih suka merujuk kepada PN kerana kami akan bertanding dalam gabungan. Rakyat Sabah ini matang dan berto­leransi. Mereka tidak menilai semata-mata berdasarkan nama parti, tetapi melihat kepada perjuangan yang dibawa. Memang ada segelintir yang menganggap PN sebagai parti Semenanjung, tetapi bagi saya PN ialah parti nasional yang membawa misi bersama untuk seluruh Malaysia. Slogan ‘Sabah for Sabahan’ juga kini bukan lagi menjadi perbualan utama. Rakyat Sabah menilai berdasarkan kejujuran dan integriti pemimpinS. Saya yakin kebijaksanaan rakyat Sabah akan menentukan kerajaan yang lebih baik selepas ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN