KUANTAN: Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota membantah sekeras-kerasnya sebarang bentuk hidangan arak di premis sekolah, termasuk yang disewa untuk acara di luar waktu persekolahan.
Naib Ketua Pemudanya, Adam Zakwan Zainudin menegaskan bahawa institusi pendidikan adalah tempat membina akhlak dan sahsiah pelajar, bukannya medan memperkenalkan budaya keraian yang melibatkan alkohol.
“Apakah Sekolah Jenis Vernakular ini bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan? Tidak kiralah jika dewan sekolah itu dibina daripada sumber kewangan mana sekalipun, undang-undang dan garis panduan Kementerian Pendidikan seharusnya terpakai tanpa pengecualian,” katanya dalam kenyataan di sini.
Adam Zakwan berkata, larangan terhadap arak di kawasan sekolah termaktub secara jelas menerusi garis panduan Kementerian Pendidikan, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) dan Akta Cukai Eksais 1976.
Beliau turut menyokong pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal ini dan sekolah mesti kekal sebagai kawasan bebas arak dan perjudian.
“Cukuplah dengan permasalahan sosial, keganasan dan jenayah yang semakin meningkat. Jangan ditambah lagi dengan menjadikan fasiliti sekolah sebagai tempat menjamu alkohol,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa, guru, pelajar dan masyarakat pelbagai kaum agar bersama-sama mempertahankan kesucian institusi pendidikan negara.
“Marilah kita tekad membangunkan generasi masa depan yang berakhlak, berdisiplin dan berilmu. Kepentingan umum mesti diutamakan berbanding kehendak peribadi. Jangan lagi jadikan alasan ‘majlis derma’ sebagai sebab menormalisasi arak di tempat pendidikan.
“Buat masyarakat Malaysia, jangan biarkan kaki mabuk terus berada di Parlimen Malaysia,” katanya. – UTUSAN










