JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun terpaksa menjalani pembedahan di kepala sebanyak dua kali selain turut menjalani 32 kali rawatan radioterapi dan lapan kitaran kemoterapi akibat ketumbuhan otak dikenali sebagai Medulloblastoma Cancer.
Ibu kepada M. Sai Jeevithasri, 7, iaitu R. Sarahmary, 43, memberitahu, anak bongsu daripada dua beradik itu juga pernah kehilangan daya penglihatan dan pendengaran selain hanya terlantar di katil.
Katanya, keadaan anaknya itu bagaimanapun telah menunjukkan perkembangan positif setelah berjaya melengkapkan rawatan April lalu.
“Dia mula menunjukkan simptom seperti demam, kurang selera makan dan mengadu sakit belakang leher pada September 2023. Selepas jalani pemeriksaan, doktor sahkan dia mengalami ketumbuhan di otak dan perlu dibedah.
“Kesihatannya merosot mendadak sehingga dia tidak mampu berjalan walaupun sebelum itu dia kanak-kanak yang aktif. Pada November 2023, dia menjalani pembedahan selama sembilan jam bagi membuang ketumbuhan yang disahkan kanser,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan beberapa pihak yang mahu memberikan sumbanan di rumahnya di Taman Megah Ria, Pasir Gudang, di sini.
Tambah Sarahmary, ketumbuhan itu tidak dapat dibuang sepenuhnya kerana boleh membahayakan nyawa menyebabkan anaknya terpaksa dibedah buat kali kedua.
“Hampir sebulan dia dirawat dan kemudian menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi sebelum kami lihat perkembangan positif.
“Sekarang dia mampu melihat, berbual serta menggerakkan tangan dan kaki. Tetapi keadaannya tidak pulih sepenuhnya, dengan saiz ketumbuhan terkini adalah 0.8 milimeter, berbanding saiz asal kira-kira 5 milimeter,” ujarnya.-UTUSAN.










