PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju membentangkan Rang Undang-Undang Antibuli 2025 pada sidang Dewan Rakyat ini bagi menoktahkan gejala tersebut.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, buli ialah jenayah senyap yang mesti dinoktahkan kerana gejala itu tak kira di sekolah, universiti, tempat kerja mahupun di alam maya telah membunuh potensi, menanam trauma berpanjangan, malah meragut nyawa insan.
Katanya, semua pihak mesti bersatu padu mesti putuskan rantaian kezaliman itu sehingga ke akar, melalui didikan empati dan penguatkuasaan tanpa kompromi.
“Seluruh kekuatan dan tenaga jentera merentasi kementerian digembleng bagi mengekang gejala buli. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membangunkan Kerangka Antibuli Sekolah (SAFE) sebagai rangka menyeluruh pencegahan buli di sekolah.
“Ini termasuk memperkasa peranan guru dan murid melalui Program Amalan Sekolah Penyayang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meningkatkan keselamatan mahasiswa di kampus dengan menambah kamera litar tertutup (CCTV) dan menganjurkan program sahsiah serta kepimpinan sebagai bentuk pencegahan buli dan ragging.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan sokongan psikososial melalui sesi kaunseling berkelompok.
“Kementerian Komunikasi melaksanakan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan tahap kesedaran siber dalam kalangan murid sekolah. Rakan Muda menggerakkan ikhtiar “Lawan Buli” dalam kalangan belia di akar umbi,” katanya. – UTUSAN










