MANILA: Ribuan penduduk di sebuah pulau di Filipina berpindah selepas pakar cuaca memberi amaran mengenai kemungkinan banjir di sepanjang pantai Pasifik menjelang ketibaan Ribut Tropika Fengshen.
Pusat taufan itu dijangka melepasi Pulau Catanduanes, sebuah pulau miskin yang mempunyai 270,000 penduduk, pada lewat Sabtu dengan kelajuan angin kencang mencecah sehingga 80 kilometer sejam (kmj)
Menurut perkhidmatan cuaca negara, Fengshen dijangka membawa hujan lebat serta ‘risiko rendah hingga sederhana’ banjir pantai, dengan ombak setinggi antara satu hingga dua meter akibat gangguan ribut itu.
Lebih 9,000 penduduk di Pulau Catanduanes kini berpindah ke kawasan yang lebih selamat, menurut pejabat bencana wilayah itu.
Ia merupakan langkah berjaga-jaga biasa dilakukan penduduk di pulau tersebut, yang sering menjadi kawasan pertama dilanda taufan dari Lautan Pasifik barat.
Kerajaan wilayah Catanduanes mengarahkan pegawai tempatan untuk ‘mengaktifkan pelan pemindahan masing-masing’ bagi penduduk di kawasan berisiko tinggi, termasuk pesisir pantai, kawasan rendah dan lereng bukit yang terdedah kepada tanah runtuh, kata pegawai penyelamat, Gerry Rubio.
Wilayah bersebelahan seperti Sorsogon dan Albay turut melaksanakan pemindahan awal sebagai langkah berjaga-jaga, namun angka rasmi mengenai jumlah penduduk yang terlibat masih belum dikeluarkan.
Filipina mengalami purata 20 ribut dan taufan setiap tahun, yang lazimnya melanda kawasan berisiko tinggi dan didiami jutaan penduduk miskin.
Saintis memberi amaran ribut kini semakin kuat berikutan pemanasan global yang didorong oleh aktiviti manusia.
Kedatangan ribut Fengshen berlaku ketika Filipina masih bergelut dengan kesan beberapa gempa bumi besar yang mengorbankan sekurang-kurangnya 87 orang dalam tempoh tiga minggu lalu.- AFP