Ribut 15 minit badai lebih 40 rumah

Ribut 15 minit badai lebih 40 rumah

NAZUAN Md Ali menjemur kusyen yang basah akibat hujan lebat selepas bumbung rumahnya di Kampung Solok Wan Moh rosak diterbangkan angin kencang petang kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Walaupun berlaku hanya kira-kira 15 minit, kejadian angin kencang di sini pada pukul 5.15 petang kelmarin telah membadai kira-kira 40 rumah di kawasan Tongkang Pechah serta beberapa penempatan lain.

Keadaan itu menyebabkan ada penduduk terpaksa me­numpang di rumah saudara terdekat sementara menanti bumbung dibaiki kerana jika berlaku hujan akan menyebabkan rumah dimasuki air.

Mohd. Izziyad Mohd. Farid Suhaimi, 29, yang tinggal bersama isteri serta lima orang anak­nya di Kampung Solok Wan Moh berkata, buat sementara waktu ini mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah ibu mentuanya di Kampung Istana.

Katanya, tindakan itu terpaksa dilakukannya kerana semua bahagian rumah termasuk bilik tidur akan dimasuki air sekiranya berlaku hujan kerana secara keseluruhan bumbung rumah yang disewa rosak akibat daripada kejadian ribut itu.

“Tempoh menumpang di rumah ibu mentua belum dapat dipastikan dan bergantung kepada berapa cepat pembaikan akan dilakukan oleh tuan rumah.

“Kami amat berharap ia akan dapat dibaik pulih segera kerana untuk mencari rumah sewa lain dalam masa terdekat ini adalah amat sukar di bandar Batu Pahat ini,”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Keadaan sama turut dialami oleh jirannya, Nazuan Md Ali, 37, yang tinggal bersama isteri dan empat orang anaknya apabila terpaksa menumpang di rumah abang iparnya di Taman Intan, Batu Pahat.

“Dalam rumah hanya sedikit kawasan yang tidak kena air hujan dan di situlah tempat saya berehat pada malam tadi kerana tidak mahu meninggalkan kediaman dalam keadaan kosong,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri berkata, setakat ini sebanyak 40 buah rumah telah dikenal pasti rosak akibat angin kencang yang berlaku.

Ujarnya, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengumpul maklumat keseluruhan mangsa terlibat yang dijangka melebihi 40 buah rumah.

“Pelbagai agensi akan dilibatkan dalam usaha membantu semua keluarga terlibat Santaranya Majlis Agama Islam Johor dan Yayasan Makmur Batu Pahat,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×