RCEP, platform keamanaan serantau selain perdagangan

RCEP, platform keamanaan serantau selain perdagangan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bukan sekadar platform perdagangan, tetapi asas penting membina keamanan dan kemakmuran berterusan di rantau Asia Pasifik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan kali ini amat signifikan kerana ia merupakan mesyuarat pertama para pemimpin sejak perjanjian itu dimeterai pada 2020, ketika dunia berdepan pandemik Covid-19.

“Sejak itu, hubungan perdagangan, pelaburan dan pertukaran antara rakyat negara anggota semakin kukuh, mencerminkan daya tahan serta semangat kemakmuran bersama yang menjadi tunjang RCEP.

“Mesyuarat ini jelas penting untuk memperkukuh kerjasama serta semangat keterbukaan dalam dialog yang membina,” katanya ketika berucap pada pembukaan Sidang Kemuncak RCEP kelima sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, melalui usaha bersama, negara-negara dalam RCEP mampu mencapai hasil yang bermakna demi manfaat seluruh rantau. 

“Matlamat kita jelas iaitu membina asas kepada keamanan yang berkekalan dan kemakmuran berterusan,” katanya.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua pemimpin yang hadir serta menyatakan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kerjasama ekonomi serantau.

Sidang Kemuncak RCEP menghimpunkan wakil 15 negara anggota yang menyumbang kira-kira 30 peratus atau satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Antara topik yang akan dibincangkan termasuk perdagangan dan pelaburan, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan serta pendigitalan.

Negara anggota terdiri daripada 10 negara ASEAN (Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam) dan lima rakan dagang ASEAN (Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand).

RCEP telah ditandatangani pada 15 November 2020.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×