RCEP mulakan persiapan semakan perjanjian pada 2027

RCEP mulakan persiapan semakan perjanjian pada 2027

SUASANA Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) memulakan persiapan bagi semakan umum perjanjian itu pada 2027 dan meneruskan perbincangan mengenai langkah mempercepat pelaksanaan perjanjian tersebut.

Menurut kenyataan bersamanya, ini bagi memastikan asas yang sama rata serta memacu pertumbuhan ekonomi domestik dan serantau yang kukuh dan berdaya tahan, termasuk dengan memajukan agenda sedia ada serta memperluas manfaat RCEP.

Katanya, antaranya dengan mempertimbangkan untuk memasukkan peruntukan bagi isu-isu moden dan baharu.

Para pemimpin berkata, adalah perlu bagi perjanjian perdagangan itu kekal relevan dan responsif terhadap cabaran ekonomi global yang semakin kompleks.

“Kami telah mengarahkan menteri dan pegawai untuk mempergiat usaha bagi meningkatkan pelaksanaan penuh dan berkesan perjanjian RCEP.

“Selain itu, memajukan agenda kerjasama ekonomi RCEP untuk merapatkan jurang pelaksanaan, khususnya bagi ekonomi kurang maju serta menangani cabaran jangka panjang yang sedang muncul seperti perubahan iklim, transformasi digital dan kerentanan rantaian bekalan,” katanya.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sempena Sidang Kemuncak RCEP kelima sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Sementara itu, negara-negara anggota mengulangi komitmen terhadap peraturan dan prinsip Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai asas kepada sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, telus, adil dan berasaskan peraturan yang memastikan kebolehjangkaan serta layanan bukan diskriminatif kepada semua rakan dagang.

“Kami menegaskan bahawa integrasi serantau yang dilaksanakan dalam rangka sistem perdagangan pelbagai hala, dengan WTO sebagai terasnya, amat penting bagi kestabilan ekonomi, daya tahan dan kemakmuran jangka panjang rantau ini. 

“Kami turut menekankan kepentingan reformasi WTO yang lebih berani agar organisasi itu dapat memenuhi kepentingan semua ahlinya dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Selain itu, mereka mengiktiraf peranan penting RCEP dalam menyumbang kepada integrasi dan kerjasama ekonomi serantau. 

“Sehubungan itu, kami menegaskan komitmen teguh untuk mempertingkat pelaksanaan penuh dan berkesan Perjanjian RCEP sebagai langkah penting ke arah merealisasikan potensi penuh perdagangan dan pertumbuhan rantau ini.

“Kami juga mengulangi komitmen untuk tidak mengambil sebarang langkah yang bertentangan dengan kewajipan di bawah Perjanjian RCEP, memastikan pasaran kekal terbuka, bebas dan berpaksikan peraturan, menghapuskan halangan perdagangan yang tidak perlu serta memperkukuh kemudahan perdagangan dan pelaburan untuk semua pihak,” jelasnya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN