KANGAR: Perlis Ultra Marathon (Putra) 2025 yang memasuki edisi ketiga kembali dengan tarikan lebih menarik yang menjanjikan pengalaman berharga kepada para peserta.
Putra yang bakal berlangsung dari 18 hingga 20 Disember ini menampilkan lebih 1,000 peserta termasuk pelari dari negara luar.
Orang ramai juga masih berpeluang menyertai larian berkenaan dengan pendaftaran masih dibuka sehingga hujung bulan ini.
Kejohanan tersebut yang diadakan di Kompleks Eko Pelancongan, Sungai Batu Pahat itu bakal menawarkan empat kategori untuk dipertandingkan iaitu larian pada jarak 100 kilometer (km), 50 km, 23 km dan lima km.
Menariknya, para pelari akan menyusuri laluan pinggir Banjaran Nakawan sekitar Wang Kelian sehingga Kuala Perlis dengan melalui lokasi pelancongan menarik, kampung tradisional sambil menikmati keindahan landskap Perlis sekali gus menjanjikan pengalaman unik.
Antara tarikan menarik bagi edisi kali ini ialah larian pada jarak 100 km dengan peserta bakal melalui laluan sekitar Gua Kelam, Wang Kelian, Timah Tasoh, Taman Sakura, Kompleks Eko Pelancongan Sungai Batu Pahat, Denai Larian Pangkalan Asam, Muzium Kota Kayang, Bukit Kubu, Kampung Warna- Warni dan Pulau Ketam.
Pengarah Putra 2025, Ku Hasrin Ku Abd. Rahman berkata, Putra adalah acara larian paling dinantikan yang diadakan secara dwi tahunan iaitu berselang dengan Nakawan Ultra.
Katanya, para peserta bakal merasai sendiri pengalaman berlari di negeri ini yang menyajikan panorama dan pemandangan indah.
“Setakat ini, lebih 1,000 peserta telah mendaftar untuk edisi ketiga ini dengan pendaftaran masih dibuka sehingga hujung bulan ini.
“Acara tersebut juga bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,” katanya.
Bagi sebarang maklumat lanjut berhubung pendaftaran kejohanan Putra 2025 orang ramai boleh melayari pautan www.mep21-online.com atau menghubungi 019-4740729 (Ku Hasrin).-UTUSAN