PETALING JAYA: Pusat tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal dilengkapi 1,012 unit kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi bermula pada tahun hadapan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, setakat ini, terdapat 568 unit kamera di 22 pusat tahanan namun 128 daripadanya rosak.
Kata beliau, pemasangan CCTV itu yang menelan kos sebanyak RM19 juta itu bagi menggantikan CCTV yang kebanyakan masih berfungsi tetapi sudah usang serta tidak berteknologi tinggi.
“CCTV ini akan ditempatkan di 28 premis melibatkan Ibu Pejabat ; Ibu Pejabat Maritim Negeri (13 premis) dan Pejabat Zon Maritim di seluruh negara termasuk kawasan pusat tahanan dan perimeter (14 perimeter),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mohd. Rosli berkata, keselamatan tahanan, anggota dan premis adalah menjadi keutamaan pihaknya.
“CCTV berteknologi tinggi dengan kecerdasan buatan (AI) dan analitik akan meningkatkan pemantauan masa nyata, mencegah insiden tidak diingini serta memperkukuh integriti operasi Maritim Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, kira-kira 550 unit CCTV berteknologi tinggi turut akan dipasang di 18 fasiliti lokap berpusat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pemasangan ini bertujuan meningkatkan ketelusan pengoperasian, mencegah insiden yang tidak diingini, meminimumkan kesilapan manusia (human error), serta mengadaptasi teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) untuk pengawasan yang lebih cekap.
Pemasangan ini selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan standard antarabangsa.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemasangan sistem CCTV berteknologi tinggi di pusat tahanan Maritim Malaysia dan lokap AADK di seluruh negara.
Pelaksanaan itu merupakan inisiatif strategik kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) bagi memenuhi keperluan semasa agensi penguatkuasaan menghadapi cabaran keselamatan serta memperkukuh pemantauan terhadap kawasan tahanan. – UTUSAN










