KOTA BHARU: Pas sedia berlawan dengan Parti Amanah Negara (Amanah) sekiranya diberikan mandat oleh Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November ini.
Naib Presidennya Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, hal ini kerana perkara tersebut sudah menjadi kebiasaan setiap kali pilihan raya.
“Bagaimanapun perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan berkaitan soal agihan kerusi dan calon.
“Perkara itu sudah masuk ke peringkat akhir. Jadi saya tidak boleh mengulas lebih lanjut,” katanya pemberita selepas Ceramah Perdana Sempena 70 Tahun Pas di sini, malam tadi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Amanah sedia bertanding di kerusi DUN Sulabayan pada PRN Sabah ke-17 jika diberi mandat oleh Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agungnya Muhammad Faiz Fadzil bagaimanapun berkata, agihan kerusi masih lagi dalam proses perbincangan dengan rakan-rakan gabungan PH.
Mengulas lanjut mengenai PRN Sabah, Mohd. Amar memberitahu, Pas belum memuktamadkan pendekatan kempen yang akan diambil oleh parti berkenaan.
Katanya, Pas akan membawa isu-isu nasional dan setempat mengikut kerusi yang tandingi.
“Hal ini kerana satu-satu kawasan mempunyai masalah yang berbeza. Jadi kita kena lihat isu berpandukan kepada kawasan tersebut.
“Pandangan saya, PRN kali ini merupakan peluang terbaik rakyat Sabah untuk membuat perubahan,” ujarnya.-UTUSAN










