PETALING JAYA: Kerajaan perlu memastikan ketelusan dan kecekapan dalam pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dengan penumpuan kepada sistem pemantauan terbuka, pelaporan digital dan audit berkala oleh pihak bebas.
Bekas jurulatih PLKN, Mohd. Shah Nurizal Mohd. Khainudin berkata, pendekatan itu penting bagi mengelak pembaziran dan supaya setiap perbelanjaan dan pelaksanaan program dapat dipantau secara telus serta tidak lagi dibebani dengan isu birokrasi dan pengurusan lemah.
Menurutnya, PLKN bukanlah program gagal sebaliknya pelaburan sosial yang mempunyai impak besar dalam membentuk disiplin, semangat kenegaraan dan jati diri anak muda sekiranya dilaksanakan dengan kaedah betul.
“Isu pembaziran bukan datang daripada konsep PLKN itu sendiri tetapi daripada pengurusan dan pelaksanaan di peringkat tertentu.
“Kerajaan boleh memastikan ketelusan melalui sistem pemantauan terbuka, pelaporan digital, dan audit berkala oleh pihak bebas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, seramai 100,000 orang bakal diwajibkan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan bermula tahun hadapan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 70,000 melibatkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan selebihnya menyasarkan penyertaan orang awam melalui kem wataniah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program itu akan dilaksanakan melalui IPT berdasarkan kajian dan proses penilaian keberkesanan yang dilakukan sebelum ini.
Mohd. Shah Nurizal berkata, pelaksanaan sistem pelaporan digital membolehkan kem-kem latihan dan jurulatih melapor terus kepada pihak kementerian tanpa banyak lapisan birokrasi selain memudahkan pemantauan prestasi pelatih secara masa nyata.
“Kerajaan juga perlu melantik individu yang benar-benar berpengalaman dalam bidang latihan, bukan berdasarkan pengaruh politik atau kenalan. Hanya mereka yang pernah turun ke lapangan tahu cabaran sebenar,” katanya.
Mengulas mengenai tempoh latihan, beliau berpendapat tempoh enam hingga lapan minggu sudah memadai sekiranya modul disusun dengan padat dan konsisten.
“Yang penting adalah kualiti masa latihan bukan panjang tempohnya,” katanya.
Tambah beliau, modul latihan perlu disesuaikan dengan realiti generasi muda hari ini yang lebih cenderung kepada aktiviti berbentuk pengalaman sebenar atau experiential learning.
“Latihan survival, kepimpinan, komunikasi digital beretika dan projek komuniti perlu diperkuatkan.
“Dengan pendekatan ini, PLKN boleh menjadi platform latihan paling relevan untuk melahirkan generasi muda yang tahan lasak dan berjiwa patriotik,” katanya.










