Pesta bendang Kampung Ujung Bukit eratkan hubungan pelajar, komuniti - Utusan Malaysia

Pesta bendang Kampung Ujung Bukit eratkan hubungan pelajar, komuniti

FATHUL Bari Mat Jahya (tengah) beramah mesra bersama penduduk pada program Bakti Madani: Siswa Universiti Komuniti Madani @Perlis (SUKA Perlis) 2025 di Kampung Ujung Bukit, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penganjuran sukan bendang yang merupakan sebahagian acara dalam Program Bakti Madani: Siswa Universiti Komuniti Madani @Perlis (SUKA Perlis) 2025 di Kampung Ujung Bukit di sini, menjadi medium mengeratkan hubungan antara pelajar bersama komuniti kampung.

Antara sukan bendang yang dipertandingkan adalah seperti tarik tali dan bola beracun, selain terdapat juga beberapa acara lain seperti pertandingan memasak, mewarna, menyediakan garam belacan, kenduri kampung dan pelbagai lagi aktiviti lain.

Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, penganjuran program itu membabitkan penyertaan seramai 220 pelajar dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di mana mereka dijadikan sebagai anak angkat di ketiga-tiga kawasan Parlimen di negeri ini secara keseluruhan.

Katanya, di Kangar, Kampung Ujung Bukit, di sini, telah dipilih bagi menempatkan 40 pelajar dengan keluarga angkat masing-masing.

“Terdapat pelbagai acara menarik disediakan termasuk sukan bendang.

“Setiap keluarga angkat terlibat juga diberi sedikit peruntukan bagi menjayakan program ini yang telah memasuki tahun ketiga pelaksanaannya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

PESERTA mempamerkan aksi dalam acara sukan bendang semasa Program Bakti Madani: Siswa Universiti Komuniti Madani @Perlis (SUKA Perlis) 2025 di Kampung Ujung Bukit, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

Tambah Fathul Bari, selain pelajar dapat mendekati komuniti kampung, program itu juga mendorong mereka memahami denyut nadi rakyat dan permasalahan dihadapi di peringkat bawahan.

“Pada masa sama, pelajar ini juga dapat dapat mengenali budaya dan cara kehidupan di sesebuah kampung itu,” katanya.

Dalam pada itu, Fathul Bari berkata, menerusi penganjuran pada tahun sebelum ini, ia turut mendapat penyertaan daripada pelajar luar negara antaranya seperti Indonesia dan Thailand.

Namun begitu, katanya, terdapat beberapa faktor menyebabkan pihak terlibat tidak dapat turut sama pada kali ini antaranya disebabkan oleh pertembungan peperiksaan dalam pengajian mereka.

“Biar pun begitu, kita masih dapat penglibatan daripada beberapa pelajar luar negara lain yang mengikuti pengajian di Unimap antaranya seperti Yaman dan beberapa lagi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN