PASIR MAS: Seorang penyeludup lari lintang-pukang dengan meninggalkan 1,000 liter diesel yang cuba diseleweng ke Thailand selepas diserbu anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Dangar di sini semalam.
Dalam serbuan pukul 9 pagi itu, suspek bertindak melarikan diri selepas pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang dipandunya ditahan anggota PGA.
Pemangku Komander Briged Tenggara Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, semasa melakukan rondaan rutin Op Taring Wawasan anggota bertugas telah mengesan kenderaan tersebut yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan sebaik sahaja pacuan empat roda itu ditahan membawa kepada penemuan 40 tong jerikin mengandungi minyak diesel dianggarakan sebanyak 1,000 liter.
“Minyak diesel itu dipercayai masuk
diseludup ke Thailand menggunakan pangkalan haram yang terdapat di Sungai Golok.
“Anggaran rampasan keseluruhan termasuk pacuan empat roda berjumlah RM42,900.
“Kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini
Ijid Linju memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.-UTUSAN