WASHINGTON: Agensi yang menjaga simpanan senjata nuklear Amerika Syarikat (AS) mula meletakkan kebanyakan kakitangannya dalam cuti paksa pada Isnin, apabila penutupan kerajaan berlanjutan ke minggu keempat.
Menurut CNN, kira-kira 1,400 pekerja Pentadbiran Keselamatan Nuklear Nasional (NNSA) menerima notis cuti tanpa gaji, meninggalkan hanya 375 kakitangan yang kekal bertugas.
“Sejak penubuhannya pada 2000, NNSA tidak pernah meletakkan pekerja persekutuan dalam cuti akibat kekurangan dana. Kali ini, kami tiada pilihan lain,” kata jurucakap Jabatan Tenaga, Ben Dietderich.
AS kini memiliki 5,177 peluru berpandu nuklear, dengan sekitar 1,770 daripadanya dikerahkan, menurut Buletin Saintis Atom.
NNSA, yang menguruskan 60,000 kontraktor, bertanggungjawab untuk mereka bentuk, mengeluarkan, menyelenggara dan mengamankan senjata tersebut.
Jabatan Tenaga AS tidak memberikan respons segera terhadap permintaan komen, namun CNN melaporkan cuti paksa itu akan memberi kesan awal kepada lokasi yang memasang senjata nuklear, termasuk Pantex di Texas dan Y-12 di Tennessee.
Pada hari ke-20, AS kini mengalami penutupan kerajaan penuh terpanjang dalam sejarah, atau ketiga terpanjang jika termasuk penutupan sebahagian.
Presiden Donald Trump meningkatkan tekanan terhadap Demokrat untuk mengundi bersama Republikan bagi membuka semula kerajaan, disertai dengan ancaman semakin serius untuk memotong perkhidmatan awam dan memulakan pemberhentian pekerja secara besar-besaran.
“Jadi kita berharap Demokrat menjadi kurang terpesong dan kita akan dapat undian itu tidak lama lagi. Dan saya dengar mereka juga mula merasainya,” kata Trump pada acara besbol kolej di Rumah Putih.
Kevin Hassett, pengarah Majlis Ekonomi Nasional Rumah Putih, memberitahu CNBC beliau menjangka penutupan kerajaan akan berakhir “dalam minggu ini’, namun memberi amaran kepada Demokrat tentang tindakan lebih tegas untuk membawa mereka ke meja rundingan sekiranya penutupan berlanjutan.