KANGAR: Seorang pensyarah didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar lelaki pada Februari lepas.
Syed Luqman Syed Muhammad Arif, 27, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar, Muhammad Qairil Mohammad Zahid, 22, pada 22 Februari lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pondok pengawal keselamatan di sebuah institut kemahiran tersebut pada pukul 9.45 malam dan berikutan itu tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Asisten Superitenden Norliza Abdullah manakala Syed Luqman diwakili Peguam, Zuhair Ahmad Zakuan.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon mahkamah agar dapat mengenakan jaminan sebanyak RM3,000 ke atas tertuduh bersama dua orang penjamin tempatan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan dua penjamin warga tempatan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 18 November depan.-UTUSAN