LANGKAWI: Pengusaha bot tambang berharap kerajaan dapat mempercepat pemberian subsidi petrol kepada mereka susulan kenyataan Kementerian Kewangan yang memasukkan perkhidmatan itu di bawah Inisiatif Bantuan Madani RON95 (BUDI95).
Pengerusi Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Berhad (Koptubas), Mohd. Fadzlan Nor yang menjalankan operasi bot tambang ke Pulau Tuba berkata, pihaknya menyambut baik keputusan itu agar perkhidmatan kompetitif kepada masyarakat dapat diberikan.
Namun katanya, langkah itu perlu disegerakan memandangkan kesemua pengusaha bot tambang sudah membayar petrol dengan kadar RM2.60 seliter.
“Kami berterima kasih kerana kerajaan memberikan subsidi petrol yang melibatkan perkhidmatan bot tambang, tetapi pelaksanaannya perlu dicepatkan.
“Selagi tiada cara pelaksanaan, kami tetap perlu membayar RM2.60 dan bukannya RM2.05 seliter yang menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian akibat perbezaan kos tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan kebimbangan kira-kira 20 pengusaha bot tambang dan lebih 600 bot pelancong di Langkawi yang tidak lagi menikmati subsidi petrol selepas pelaksanaan BUDI95.
Bagaimanapun, Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan bahawa pemandu e-hailing serta pengendali bot tempatan akan turut sama menikmati subsidi di bawah BUDI95.
Kata Mohd. Fadzlan, pihaknya mencadangkan agar kerajaan menggunakan pangkalan data sedia ada daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sebelum ini membenarkan mereka membeli petrol secara pukal.
Tambahnya, kelewatan kerajaan dalam memberikan subsidi ini menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian lebih 50 peratus kerana kenaikan harga petrol dan isu kekurangan penumpang.
Sementara itu, pengusaha juga berharap agar kuota pembelian di bawah BUDI95 tidak ditetapkan seperti kenderaan perdagangan di darat berikutan penggunaan petrol yang jauh lebih banyak untuk bot.
“Koptubas sahaja mengendalikan empat buah bot dengan anggaran penggunaan petrol sebanyak 400 liter sehari bagi kesemua bot tersebut.
“Kapasiti bot dan keadaan cuaca akan mempengaruhi penggunaan petrol serta akan bertambah daripada anggaran itu sekiranya bot membawa penumpang secara maksimum atau ketika keadaan laut bergelora,” katanya.-UTUSAN.










