KOTA BHARU: Sektor pelancongan di negeri ini terus dirancakan menerusi penerbangan terus dari Singapura ke Kota Bharu yang dikendalikan oleh Scoot, anak syarikat tambang murah Singapore Airlines (SIA).
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Mohd. Izani Ghani, penerbangan dua kali seminggu pada Jumaat dan Ahad itu yang mengambil masa 1 jam 15 minit itu mampu mempromosikan lebih banyak negeri ini kepada pelancong asing.
“Kita (MAHB) mengalu-alukan terutama penerbangan antarabangsa ke Kota Bharu. Dengan adanya kemudahan ini (penerbangan Singapura-Kota Bharu) dan kapasiti terkini Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang besar mampu menampung kemasukan lebih ramai pelancong ke negeri ini.
“Alhamdulillah, operasi penerimaan ketibaan pelancong antarabangsa di LTSIP berjalan lancar dan teratur. Ia sekali gus memperlihatkan tahap kesiapsiagaan LTSIP untuk menerima pelancong berada pada tahap terbaik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program MYAirportCARES Lestari Seni Majlis Pemerkasaan dan Pemuliharaan Rebana Ubi Serta Sambutan Penerbangan Sulung Scoot dari Singapura ke Kota Bharu di LTSIP sini malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Rosnan Abdul Rahman, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Sdn.Bhd Kamaruzzaman Razali.
Mohd. Izani memberitahu, sekiranya, mendapat sambutan yang menggalakan MAHB tidak menolak kemungkinan akan mengemukan cadangan pertambahan lokasi dalam menggalakkan lagi sektor pelancongan ke Kelantan.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Izani berkata, sepanjang Januari hingga September tahun ini LTSIP sudah mengendalikan lebih 1.3 juta penumpang.
Katanya, LSTIP bukan sekadar pintu masuk ke negeri Cik Siti Wan Kembang, tetapi juga nadi penting kepada pertumbuhan ekonomi serta sektor pelancongan di Pantai Timur.-UTUSAN










