Penerbangan China dari AS mungkin dilarang guna ruang udara Russia

Penerbangan China ke AS mungkin dilarang guna ruang udara Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bercadang untuk melarang syarikat penerbangan China daripada terbang melalui ruang udara Russia bagi penerbangan ke dan dari negara itu.

Washington mendakwa, langkah itu memberikan kelebihan tidak adil kepada syarikat penerbangan China berbanding syarikat AS.

Syarikat penerbangan AS sejak sekian lama mengkritik keputusan membenarkan pesawat China menggunakan laluan udara Russia, kerana masa penerbangan yang singkat dan penggunaan bahan api lebih rendah memberikan kelebihan dari segi kos serta operasi.

Dalam perintah yang dicadangkan pada 9 Oktober, Jabatan Pengangkutan AS (USDOT) menyatakan ketidakseimbangan kini menjadi faktor persaingan yang ketara.

“Langkah ini dicadangkan bagi menyamakan jurang daya saing antara syarikat penerbangan AS dan China,” kata USDOT dalam kenyataan.

Kedutaan China di Washington tidak memberikan sebarang ulasan segera mengenai cadangan tersebut.

Russia sebelum ini melarang pesawat AS dan syarikat penerbangan asing lain menggunakan ruang udaranya sebagai tindak balas terhadap larangan Washington terhadap penerbangan Russia ke AS sejak Mac 2022, susulan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Keputusan terbaharu itu dijangka memberi kesan kepada syarikat penerbangan China seperti Air China, China Eastern, Xiamen Airlines dan China Southern.

Langkah itu diumumkan ketika ketegangan antara China dan AS semakin meningkat, khususnya dalam isu ekonomi dan perdagangan.

USDOT memberi tempoh dua hari kepada syarikat penerbangan China untuk memberi maklum balas dan perintah akhir dijangka berkuat kuasa seawal November ini.

Pada Mei 2023, AS meluluskan tambahan penerbangan syarikat China selepas mereka bersetuju tidak lagi terbang melalui ruang udara Russia bagi laluan baharu.

Tahun lalu, USDOT membenarkan syarikat penerbangan penumpang China menambah sehingga 50 penerbangan pergi-balik setiap minggu ke AS, berbanding lebih 150 penerbangan mingguan yang pernah dibenarkan sebelum sekatan dikenakan pada awal 2020 akibat pandemik Covid-19.

Beberapa syarikat penerbangan AS dilaporkan memberitahu pentadbiran Trump bahawa penerbangan terus dari Pantai Timur AS ke China kini tidak lagi menguntungkan kerana perlu mengelak laluan udara Russia, yang menambah jarak serta kos bahan api yang tinggi.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×