KUALA KRAI: Penduduk di kawasan pedalaman di negeri ini terutama di Dabong tetap menikmati pembelian subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).
Inisiatif itu dinikmati menerusi Program Penyeragaman Harga (PPH) yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Situasi itu menyebabkan penduduk tidak lagi perlu berulang-alik sejauh 106 kilometer semata-mata untuk mengisi petrol di stesen minyak Laloh dan Jeli selepas kawasan tersebut tidak mempunyai kemudahan tersebut.
Penduduk, Azmi Derani berkata, pelaksanaan BUDI95 melalui PPH amat membantu masyarakat di sini mengecapi limpahan subsidi disediakan kerajaan.
“Walaupun terletak di kawasan pedalaman, subsidi disediakan oleh kerajaan dapat dinikmati sebaik mungkin oleh kami di sini. Kelayakan diberikan cukup untuk menggerakkan motosikal bagi mencari rezeki menyara keluarga,” katanya ketika ditemui semalam.
Peniaga petrol, Zalee Che Sulaiman, 55, berkata, inisiatif PPH diperkenal kerajaan membolehkan penduduk di Dabong menikmati subsidi disediakan kerajaan.
Setiap urusan jual beli direkodkan bagi memudahkan KPDN Kelantan menjalankan audit.
“Sebelum pelaksanaan BUDI95, rakyat Dabong sudah mendapat kemudahan subsidi minyak yang dijual pada harga RM2.05 seliter. Di sini kami hadkan pembelian sebanyak 10 liter sehari kepada seorang pengguna. Jumlah itu sudah mencukupi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, penduduk di kawasan pedalaman turut menikmati manfaat harga RM1.99 sama seperti penduduk bandar bermula semalam.
Katanya, rekod transaksi dibuat secara manual khususnya di kawasan pedalaman memandangkan wujud kemungkinan masalah teknikal seperti kesukaran akses talian internet.
“KPDN Kelantan memberi jaminan pemantauan berterusan dilakukan terhadap semua pihak terlibat bagi mengelakkan sebarang bentuk manipulasi atau ketirisan,” katanya. – UTUSAN










