Hadiah Nobel Keamanan milik Maria Corina Machado

Hadiah Nobel Keamanan milik Maria Corina Machado

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OSLO: Hadiah Nobel Keamanan dianugerahkan kepada pemimpin pembangkang dan aktivis demokrasi Venezuela, Maria Corina Machado.

Jawatankuasa Nobel Norway berkata, Machado, yang kini hidup dalam persembunyian, dipilih atas usaha gigihnya memperjuangkan hak demokratik rakyat Venezuela serta perjuangan untuk mencapai peralihan yang adil dan aman daripada pemerintahan diktator kepada demokrasi.

“Saya benar-benar terkejut,” katanya dalam satu rakaman video yang dikongsi kepada AFP oleh pasukan medianya selepas pengumuman anugerah itu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Nobel, Jorgen Watne Frydnes berkata, Venezuela berubah daripada sebuah negara demokratik dan makmur kepada ‘negara autoritarian yang kejam’, serta bergelut dengan krisis kemanusiaan dan ekonomi.

“Jentera keganasan negara kini digunakan terhadap rakyatnya sendiri. Hampir lapan juta rakyat meninggalkan negara itu,” katanya sambil menambah pembangkang disekat melalui penipuan pilihan raya, pendakwaan dan hukuman penjara.

Dalam konteks ini, Machadi menjadi tokoh utama yang menyatukan barisan pembangkang politik yang sebelum ini berpecah-belah.

Jawatankuasa Nobel memuji beliau sebagai antara contoh keberanian awal yang paling luar biasa di Amerika Latin sejak kebelakangan ini.

“Walaupun berdepan ancaman serius terhadap nyawanya, beliau tetap memilih untuk kekal di Venezuela, pilihan yang memberi inspirasi kepada jutaan rakyat,” kata kenyataan itu.

Menjelang pilihan raya Venezuela pada 2024, Machado merupakan calon presiden pembangkang, namun rejim pemerintah menghalang pencalonannya.

Beliau kemudian menyatakan sokongan kepada bekas diplomat Edmundo Gonzalez Urrutia, yang ketika itu kurang dikenali, untuk menggantikannya sebagai calon utama pembangkang.

Kemenangan Machado sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan dianggap mengejutkan kerana namanya tidak disebut dalam senarai calon utama menjelang pengumuman rasmi pada Jumaat.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN