Peluru Korea Utara ditemukan dalam serangan dron di Ukraine

Peluru Korea Utara ditemukan dalam serangan dron di Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Sebutir peluru Korea Utara ditemukan dalam dron yang digunakan untuk menyerang Ukraine bulan lalu, sekali gus memperkukuhkan bukti penglibatan Pyongyang dalam membantu peperangan Russia.

Menurut laporan badan penyiasatan yang berpangkalan di Britain, Conflict Armament Research (CAR), peluru diubah suai itu ditemukan oleh pihak berkuasa Ukraine selepas serangan ke atas bandar pelabuhan Kherson pada September lalu.

Peluru tersebut mempunyai tanda huruf Korea, termasuk rujukan kepada kalendar Juche yang digunakan di Korea Utara untuk menandakan tahun selepas kelahiran pengasas negara itu, Kim Il-sung.

Menurut penandaan itu, peluru berkenaan dihasilkan pada tahun Juche 89, bersamaan tahun 2000 mengikut kalendar Gregorian.

CAR dalam laporannya memaklumkan, senjata itu pada asalnya direka untuk digunakan dalam sistem artileri roket, namun diubah suai agar boleh dipasang pada dron pandangan orang pertama (FPV) menggunakan kayu, dawai dan pita pelekat.

Penemuan itu, jelas CAR, membuktikan satu lagi hubungan langsung antara industri pertahanan Korea Utara dengan perang di Ukraine.

Siasatan tersebut dibuat ketika Russia meningkatkan serangan dron terhadap bandar dan infrastruktur awam Ukraine sambil mempercepatkan pengeluaran senjata berkenaan.

Russia kini dilaporkan membina sebuah kilang besar bagi menghasilkan ribuan dron setiap bulan walaupun tidak canggih, namun cukup murah untuk dilancarkan secara besar-besaran bagi menembusi sistem pertahanan udara Ukraine dan melemahkan semangat rakyatnya.

Dalam masa sama, Korea Utara turut memperhebatkan program persenjataannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan memodenkan angkatan tentera, membangunkan senjata baharu dan menjalankan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).

Pyongyang dilaporkan mula menghantar sejumlah besar tentera dan peralatan ke Moscow sejak tahun lalu di mana pada Ogos, risikan Ukraine dan Amerika Syarikat (AS) mendedahkan sekitar 12,000 anggota tentera Korea Utara kini berada di Russia, dengan kumpulan pertama tiba pada musim luruh tahun lepas.

Menurut seorang pegawai tentera, daripada jumlah itu, kira-kira 4,000 askar Korea Utara telah terbunuh atau cedera sejak penempatan mereka di medan perang. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN