Pelan Damai Trump titik tolak kedamaian kekal

Pelan Damai Trump titik tolak kedamaian kekal

MOHAMAD Hasan bersama Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby (kanan) ketika sidang akhbar selepas meninjau Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) di Sepang, semalam. Turut serta Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin (kiri). - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pelan Damai Trump mampu menjadi titik tolak dalam mewujudkan kedamaian kekal di wilayah Gaza dengan syarat hak rakyat Palesti itu juga perlu dihormati.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkembangan tersebut amat dinanti-nantikan dan Malaysia secara prinsipnya menyambut baik persetujuan secara bersyarat Hamas kepada 20 perkara di bawah Pelan Damai Trump.

“Hamas telah pun secara bersyarat menerima 20 perkara yang diutarakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Alhamdulillah, kita bersyukur kerana Hamas menerima walaupun dengan bersyarakat. Maknanya, ia tidak boleh dijadikan alasan bahawa Hamas tidak menerima 20 perkara ini untuk Gaza terus diganyang dan rakyat Palestin terus dibunuh,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) di sini semalam.

Katanya, Hamas menyatakan persetujuan itu secara bersyarat iaitu Gaza harus ditadbir oleh badan berkecuali iaitu badan profesional Palestin.

“Ia (persetujuan Hamas) ditadbir oleh orang Palestin dan bukannya orang dari luar. Dan mereka bersetuju supaya selepas ini terpulang lah kepada mandat rakyat Palestin untuk mentadbir negara Palestin itu sendiri,” katanya.

Isnin lalu, Trump membentangkan pelan damai 20 perkara bagi menamatkan perang di Gaza pada sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di White House.

Pelan berkenaan mengandungi gencatan senjata segera, pertukaran semua tebusan Hamas dengan banduan Palestin di Israel, pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza, pelucutan senjata Hamas dan pembentukan kerajaan peralihan yang diketuai sebuah badan antarabangsa.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan Malaysia ketika ini adalah untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin yang masih menghadapi kezaliman tidak berkesudahan.

“Kita boleh terus berpolemik dan berpencak lidah di sini, tetapi hakikatnya yang merana ialah puluhan ribu nyawa yang sudah terkorban di Gaza.

“Tanggungjawab kita adalah menghentikan kezaliman Zionis, memastikan bantuan makanan dan minuman sampai, serta menyalakan harapan buat mereka yang masih bertahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, walaupun pelan Trump dilihat seperti mendapat restu negara-negara Arab dan dunia Islam, ia tidak menandakan pelan itu dipersetujui sepenuhnya.

“Malaysia akan berdiri teguh bersama Gaza, terus memantau, terus bersuara dan terus membongkar kemunafikan Zionis agar nyawa dan maruah yang tersisa tetap dipertahankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×