NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan pelan bantuan kemanusiaan 60 hari yang akan dilaksanakan sebaik sahaja gencatan senjata di Gaza bermula.
Ketua Operasi Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher berkata, pelan tersebut dirancang dengan teliti serta diuji bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan pantas dan berkesan.
“Bekalan sebanyak 170,000 tan metrik yang terdiri daripada makanan, ubat-ubatan dan keperluan lain sudah berada di lokasi strategik. Pasukan kami yang berpengalaman juga bersedia,” katanya menerusi sidang media secara video dari Arab Saudi.
Sekatan berterusan Israel menghalang bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza, menyebabkan penduduk kebuluran dan kekurangan zat makanan di beberapa kawasan.
Fletcher berkata, PBB menyasarkan untuk meningkatkan penghantaran bantuan dengan ratusan lori memasuki Gaza setiap hari, bagi memulihkan kesan kebuluran di kawasan yang terjejas.
Menurut pelan tersebut, 2.1 juta penduduk Gaza akan menerima bekalan makanan, manakala 500,000 individu yang mengalami kekurangan zat mendapat bantuan pemakanan khas.
Selain itu, pelan tersebut turut menyediakan bantuan tunai kepada 200,000 penduduk agar mereka boleh membeli makanan mengikut keperluan masing-masing, serta menyokong operasi bakeri dan dapur komuniti di seluruh Gaza.
Dari segi air dan sanitasi, PBB menyasarkan membantu 1.4 juta penduduk dengan membaik pulih sistem bekalan air, membaiki kebocoran kumbahan, menambah baik stesen pam serta membersihkan sisa pepejal dari kawasan kediaman.
“Kami akan memulihkan grid air, membaiki sistem kumbahan dan menyediakan keperluan kebersihan seperti sabun, syampu, detergen dan tuala wanita,” jelas Fletcher.
Dalam sektor kesihatan, pelan itu bertujuan memulihkan sistem perubatan Gaza yang lumpuh akibat operasi ketenteraan Israel, termasuk membekalkan peralatan perubatan dan ubat-ubatan.
Bantuan juga akan merangkumi rawatan kecemasan, kesihatan kanak-kanak, penjagaan ibu dan bayi, kesihatan mental, pemulihan dan penyakit tidak berjangkit.
Memandangkan banyak bangunan di Gaza musnah, PBB turut merancang untuk membawa masuk ribuan khemah setiap minggu sebagai tempat perlindungan sementara, serta menubuhkan sekolah sementara bagi 700,000 kanak-kanak yang terjejas akibat konflik. -AGENSI










