IPOH: Pas yang memiliki jumlah kerusi Parlimen terbanyak dalam blok pembangkang sepatutnya mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, langkah berkenaan selaras dengan amalan sistem Westminster, namun kelemahan Pas ialah ketiadaan tokoh berkaliber untuk menggalas tanggungjawab tersebut, yang kini disandang Ahli Parlimen Larut merangkap Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Dalam hal ini, Dr. Sam (Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar) tidak menunjukkan ketokohan selepas menang PRK Kemaman. Sepatutnya beliau tampil ke depan tanpa perlu menunggu jawatan Ketua Pembangkang bagi membuktikan kemampuan. Ini menunjukkan Pas ketandusan calon untuk jawatan ketua pembangkang, apatah lagi calon Perdana Menteri,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.
Pas merupakan parti terbesar dalam Perikatan Nasional (PN) dengan 43 kerusi Parlimen manakala Bersatu 31 kerusi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun 2022, Pas muncul parti terbesar dari segi bilangan kerusi Parlimen mengatasi DAP (40), PKR (31) dan UMNO (26).
Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi berkata, selepas Pilihan Raya Umum 1999, bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah dilantik Ketua Pembangkang kerana Pas ketika itu parti terbesar dalam kalangan pembangkang.
Menurutnya, kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin bahawa parti itu mempunyai ramai calon Perdana Menteri ibarat ‘tiga empat lori watak seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim’ hanya menggambarkan Pas tidak realistik dan lebih selesa mengekalkan Hamzah.
“Pas sedar mereka tiada calon layak seperti Allahyarham Fadzil Noor. Tan Sri Abdul Hadi Awang pula kerap ponteng Parlimen, hendak aktif berbahas pun jauh sekali,” katanya.
Beliau berkata, landskap politik negara kini sudah membentuk sistem dua parti utama, sekali gus mewajibkan Perikatan Nasional (PN) mempunyai calon Perdana Menteri yang jelas.
“Kerajaan PH-BN sudah ada Perdana Menteri dan bakal memasuki tahun keempat pemerintahan. Maka PN perlu menamakan calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU16. Jika tidak, mereka akan dilihat tiada hala tuju,” katanya.
Katanya, sekiranya Pas dan Bersatu terus gagal mencapai kata sepakat mengenai calon Perdana Menteri, maka Ketua Pembangkang secara automatik akan dilihat sebagai calon tersebut, seperti amalan di negara-negara yang mengguna pakai sistem Westminster.
“Namun sukar bagi Hamzah meyakinkan pengundi, apatah lagi konflik dalaman Bersatu dan pergeseran dengan Pas masih berlarutan,” katanya. – UTUSAN










