Palang Merah serah mayat tebusan ke-10 kepada Israel

Palang Merah serah mayat tebusan ke-10 kepada Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa menyerahkan mayat seorang lagi tebusan di Gaza kepada Pasukan Pertahanan Israel (IDF), di tengah pertikaian kelewatan pemulangan mayat di bawah perjanjian gencatan senjata.

Tentera dan pasukan keselamatan Israel menerima keranda itu daripada Palang Merah di Gaza awal hari ini, sebelum dihantar ke Pusat Kebangsaan Perubatan Forensik di bawah Kementerian Kesihatan Israel.

Pihak berkuasa Israel berkata keluarga mangsa akan dimaklumkan terlebih dahulu selepas proses pengecaman rasmi dijalankan.

Penyerahan itu dibuat selepas sayap tentera Hamas, Briged al-Qassam, berkata mayat berkenaan merupakan ‘tahanan penjajah’, menunjukkan bahawa ia milik warga Israel dan bukan salah seorang tebusan warga asing lain yang turut ditawan di Gaza.

Ini merupakan mayat tebusan ke-10 yang diterima Israel daripada keseluruhan 28 mayat yang masih berada di Gaza.

Hamas sebelum ini menjelaskan proses pemulangan mayat tertangguh disebabkan masalah teknikal, termasuk kekurangan jentera berat dan peralatan penggalian yang diperlukan untuk mempercepatkan usaha mencari mayat yang tertimbus di bawah runtuhan.

Semalam, dua jentolak dikerahkan bagi menggali tanah ketika Hamas meneruskan usaha mencari mayat tebusan di bandar Hamad, sebuah kompleks pangsapuri di Khan Younis.

Menara pangsapuri itu berulang kali dibom oleh tentera Israel semasa perang, menyebabkan sebahagiannya runtuh, dan pasukan tentera turut menjalankan serbuan selama seminggu di kawasan itu pada Mac 2024.

Turkiye menghantar pasukan pakar bagi membantu mengeluarkan mayat yang tertimbus di bawah runtuhan, namun pasukan itu masih menunggu kebenaran Israel untuk memasuki Gaza setakat Jumaat.

“Masih belum jelas bila Israel akan membenarkan pasukan Turkiye memasuki Gaza,” kata seorang pegawai Turkiye kepada AFP, sambil menjelaskan misi pasukan itu turut merangkumi pencarian mayat rakyat Palestin dan tebusan.

Sumber Hamas memberitahu AFP, delegasi Turkiye dijangka akan memasuki wilayah itu menjelang Ahad.

Israel pula menegaskan Hamas mengetahui lokasi mayat para tebusan dan memberi amaran kumpulan itu semakin kesuntukan masa.

Bagaimanapun, Hamas menegaskan ia masih komited terhadap perjanjian gencatan senjata dan akan menyerahkan semua baki mayat tebusan kepada pihak Israel.- THE GUARDIAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN