PASIR SALAK: Inisiatif MyKiosk oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengubah kehidupan para peniaga kecil apabila mereka kini dapat berniaga dalam keadaan lebih selesa, bersih dan teratur di kios yang disediakan kerajaan.
Kewujudan kemudahan itu bukan sahaja membantu meningkatkan imej perniagaan mereka malah berjaya menarik lebih ramai pelanggan hasil lokasi yang strategik serta kemudahan lengkap yang disediakan.
Bagi Syed Osman Syed Kahor, 69, peluang berpindah daripada menjaja di tepi jalan ke kios yang selesa di pekan Kampung Gajah di sini memberi sinar baharu dalam usaha meneruskan sumber pendapatannya.
“Saya mula berniaga air balang dan rojak buah di simpang jalan sejak 2022. Waktu itu hanya guna khemah dan meja lipat manakala barang jualan disimpan dalam kereta.
“Kemudian saya dapat tahu tentang MyKiosk daripada Majlis Daerah Perak Tengah dan Alhamdulillh permohonan saya untuk berniaga di MyKiosk diluluskan.
“Kini saya berniaga di kios yang lengkap dengan kipas, lampu solar, ruang simpan barang dan paling penting, ada kunci,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Syed Osman, kadar sewa bulanan sebanyak RM100 dianggap sangat berpatutan dan tidak membebankan peniaga kecil sepertinya.
Bayaran sewa murah dan lesen pun hanya diperbaharui dua tahun sekali. Kios ini sangat membantu, terutama daripada segi keselamatan barang jualan,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga, Hasliza Mohamad Salleh, 42, berkata, sejak menyertai program MyKiosk lima bulan lalu, perniagaan ayam gunting yang diusahakannya semakin mendapat sambutan.-UTUSAN.